Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu meningkatkan kepantasan memberi kelulusan tanpa berkompromi bagi memastikan Malaysia menjadi tarikan pelabur utama di rantau.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun negara sudah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik namun akses kepada agenda memudahcara perniagaan perlu dipertingkatkan lagi.
“Langkah ini perlu supaya Malaysia boleh menjadi tumpuan para pelabur dalam rantau ini dan memperkasa agenda memudahcara perniagaan,” katanya setelah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-45.
MPFN merupakan satu platform yang digunapakai dalam membincangkan intipati penting antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri melibatkan perancangan pembangunan bandar, desa dan guna tanah negara.
Menerusi MPFN, beliau turut membincangkan mekanisme kawalan dan pengurusan bagi aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam mengimbangi pulangan ekonomi serta mengambil kira aspek kemampanan alam sekitar selain tidak mengganggu kawasan hutan simpan.
“InsyaAllah, sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan terus dimantapkan bagi mewujudkan landskap perancangan pembangunan yang lebih holistik,” jelasnya.


































