Dua orang pesawah memegang kepingan tanah yang merekah di kawasan bendang mereka di Kampung Semadong, Beseri, Padang Besar, Perlis, semalam. Mereka antara 70 pesawah yang terkesan akibat cuaca panas yang melanda ketika ini.
BRUSSELS: Bulan Julai lalu direkodkan sebagai bulan kedua terpanas di dunia, hanya sedikit ketinggalan berbanding Julai tahun lalu, lapor Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah (Copernicus).
Menurut Utusan Malaysia, satu laporan yang dikeluarkan badan berkenaan semalam menyatakan, purata suhu permukaan udara pada bulan lalu mencatat 16.91 darjah Celcius, kurang 0.04 darjah Celcius berbanding Julai tahun lalu.
Agensi berita Xinhua yang melaporkan data itu menyatakan, ia sekali gus memecahkan tempoh 13 bulan di mana setiap bulan adalah yang paling panas berikutan fenomena El Nino.
Copernicus memaklumkan, suhu tinggi tersebut antaranya disumbangkan oleh pelepasan gas rumah kaca dari industri berasaskan bahan bakar fosil.
Seorang penyelidik di Copernicus, Julien Nicolas berkata, pihaknya masih meneliti rekod suhu yang menyebabkan gelombang panas.
“Lautan yang biasanya tidak terjejas oleh El Nino turut mengalami kenaikan suhu yang luar biasa.
“Fenomena El Nino ini telah berakhir, tetapi kenaikan suhu global yang dicatat kali ini nampaknya serupa dengan setahun yang lalu,” katanya.
Suhu di atas purata dicatatkan di selatan dan timur Eropah, barat Amerika Syarikat, barat Kanada, Afrika, Asia Barat, Asia, dan timur Antartika.
Suhu hampir atau di bawah purata dilihat di barat laut Eropah, barat Antartika, beberapa bahagian Amerika Syarikat, Amerika Selatan, dan Australia.


































