Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil beberapa langkah secara langsung untuk membantu rakyat yang berdepan kenaikan kos sara hidup kebelakangan ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan positif untuk suku kedua tahun ini selain kadar inflasi dan pengangguran yang rendah, namun ia tidak menunjukkan masalah sedang dihadapi rakyat menemukan jalan penyelesaian.
Oleh demikian, menurut beliau, kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup dengan membantu rakyat mengimbangi impak kenaikan harga barang seiring petunjuk positif pertumbuhan ekonomi negara pada ketika ini.
“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kita lihat ringgit menguat walaupun diserang bertubi-tubi.
“Pertumbuhan suku tahun kedua adalah 5.8 peratus itu sangat menbanggakan. Kita dapat kawal inflasi kepada dua peratus. Dapat kawal pengangguran kepada tiga peratus. Itu angka-angka yang baik.
“Adakah saya berpuas hati? Kerana masih ada (rakyat) menghadapi kos sara hidup di sesetengah tempat yang masih menekan kehidupan rakyat,” katanya dalam Majlis Penutupan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di Pusat Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini kelmarin.
Justeru, kata Anwar, kerajaan sentiasa terus berusaha mencari penyelesaian terhadap isu kos sara hidup dengan membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif.
Menurut beliau, antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pengumuman sistem saraan baru perkhidmatan awam yang bakal menyaksikan kenaikan gaji kakitangan kerajaan.
Menurut Anwar, beliau sebelum ini mengumumkan beberapa langkah termasuk STR yang diterima oleh sembilan juta penerima.
“Jumlahnya RM10 bilion, bukan kecil,” katanya.
Selain itu, kata Anwar, kenaikan gaji penjawat awam pada bulan Oktober ini.
“Saya (bakal) mengumumkan sistem saraan baru perkhidmatan awam dengan menaikkan gaji penjawat awam. Ia adalah kenaikan paling tinggi dalam sejarah,” katanya.


































