Dua anggota trafik dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, selepas permohonan reman bagi membantu siasatan kes memeras ugut warga Bangladesh.
KANGAR: Dua anggota polis trafik Perlis direman selama tiga hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan kes pemerasan dan mengasari seorang lelaki warga Bangladesh semalam.
Perintah reman terhadap suspek berusia awal 30-an berpangkat koperal itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Kangar, Ana Rozana Mohd. Nor selepas dibawa ke mahkamah di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kejadian dipercayai berlaku di kawasan sekitar Arau semalam dan suspek ditahan di balai polis selepas menerima laporan daripada mangsa.
Katanya, mangsa dipercayai telah dipukul dan diperas ugut oleh suspek dan wang yang dipercayai diterima daripada peras ugut tersebut adalah sebanyak RM700.
“Buat masa sekarang, kes ini masih dalam siasatan mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 323 kerana dipercayai memeras ugut dan memukul warga Bangladesh.
“Kita masih menunggu laporan penuh perubatan daripada doktor untuk mengetahui tahap kecederaan dialami lelaki Bangladesh itu selepas dipercayai dipukul kedua-dua suspek itu,” katanya di sini hari ini.
Tambah Muhammad, pihaknya sama sekali tidak akan melindungi anggota mahupun pegawai polis yang bertindak menyalahi undang-undang.
“Dalam hal ini, kita tidak akan sesekali melindungi anggota mahupun pegawai polis yang bertindak menyalahi undang-undang dengan tindakan tatatertib akan diambil sekiranya mereka didapati bersalah,” katanya.


































