Azalina Othman Said
BUTTERWORTH : Empat kementerian menganggotai satu pasukan khas bagi membincangkan cadangan meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) untuk membanteras buli siber yang dijangka dibentangkan dalam Parlimen, Oktober depan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, empat kementerian yang terlibat adalah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Digital, Kementerian Komunikasi serta Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi).
Kata beliau, pembentangan pindaan akta itu akan dibuat hasil perbincangan kesemua kementerian berkenaan.
“Kita tubuhkan satu pasukan khas membabitkan empat kementerian berkenaan bagi memperhalusi pindaan Akta 574 supaya pindaan dapat dibuat pada sesi (Parlimen) Oktober ini.
“Pindaan ini juga adalah untuk memastikan peruntukan jenayah buli siber dapat dikuatkuasakan secara efektif memandangkan definisi takrifan khas buli siber tak ada dalam undang-undang setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam 2024 di Perai di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, satu seminar undang-undang berkaitan keselamatan dalam talian membabitkan penglibatan negara luar turut akan dilaksanakan nanti.
Beliau berkata, pihaknya mahu belajar daripada negara-negara lain seperti Australia, Kanada, United Kingdom dan Singapura, memandangkan terdapat pertikaian membabitkan elemen demokrasi serta limitasi atau pembatasan terhadap hak asasi.
“Tambahan pula, ada orang kata, mereka ada kebebasan nak bercakap apa yang dia sukalah kerana dalam buli siber, mereka tak sentuh (secara fizikal) hanya bercakap saja.
“Jadi sekarang ni aspek jenayah tu ialah ia bukan satu ‘one-off’ lah, dia buat ‘scooping’, ‘doxing’, ‘intimidation’ dan lepas itu, yang paling dahsyat dia buat inflammating iaitu menggalakkan orang wujudkan kebencian.
“Kita tak nak adanya hubungan pertama sekali pada generasi muda anak-anak kita yang tertekan dari segi emosi dan melakukan sesuatu yang tak elok pada diri mereka,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang mempertimbangkan cadangan meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membanteras gejala buli siber.
Cadangan pindaan itu dibuat bagi mewujudkan peruntukan spesifik dan khas untuk kesalahan terbabit. Selain memberi tafsiran kepada terma buli siber, cadangan itu akan mengklasifikasikan perbuatan terbabit sebagai suatu kesalahan di negara ini secara spesifik.