Seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang semasa berlangsungnya Festival Bon Odori Johor di Eco Galleria, Taman Botani, Iskandar Puteri.
ISKANDAR PUTERI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dilaporkan hilang ketika berada di pusat beli-belah Eco Galleria 3, Taman Botani, di sini semalam.
Mangsa, Albertine Leo Jia Hui disedari hilang oleh bapanya kira-kira pukul 8.30 malam dan sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, kanak-kanak itu kali terakhir dilihat berpakaian baju T berwarna putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ pada bahagian dada dan berseluar pendek.
“Polis Daerah Iskandar Puteri sedang berusaha mengesan seorang kanak-kanak perempuan berbangsa Cina yang dilaporkan hilang sejak malam tadi. Kanak-kanak berusia enam tahun itu dikesan di lokasi terakhir di Eko Galleria 3, Jalan Eko Botani 3/2, Taman Botani,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sejak Jumaat lalu, pusat beli-belah itu mengadakan festival Bon Odori Johor yang menyaksikan kawasan itu sesak dengan kehadiran para pengunjung.
Difahamkan, bapa kanak-kanak itu merupakan seorang peniaga di lokasi pusat perniagaan itu.
Dalam pada itu, Kumarasan berkata, kanak-kanak itu dianggarkan mempunyai ketinggian 1.2 meter dan berambut panjang berwarna hitam serta bertubuh kurus sederhana dan berkulit cerah.
Beliau turut menepis dakwaan kanak-kanak perempuan itu telah dilarikan dan kini berada di kawasan utara negara.
“Saya harap sabar dan jangan buat andaian. Pihak Polis sedang siasat, setakat itu sahaja (perkongsian maklumat) sekarang,” katanya sambil meminta orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat tentang kedudukan kanak-kanak tersebut boleh menghubungi balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Ridzuan Abd. Hadi menerusi talian 017-7051097 atau hotline IPD Iskandar Puteri 019-2792095 atau Talian Bilik Gerakan 07-2212999.