TELUK INTAN: Empat remaja lelaki termasuk dua yang masih bersekolah ditahan bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dalam kejadian pada Rabu lalu.
Kesemua suspek berusia 14 hingga 17 tahun itu diberkas dalam tangkapan berasingan di sekitar Teluk Intan antara pukul 3 petang hingga 10 malam, Khamis.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, tangkapan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak itu dijalankan susulan laporan polis dibuat mangsa pada pukul 12.26 tengah hari.
Katanya, dalam laporan itu, mangsa yang bersekolah di sebuah sekolah di Teluk Intan, mendakwa menjadi mangsa rogol kepada empat kenalan lelaki.
“Menurut mangsa, dia telah dirogol secara bergilir-gilir oleh dua suspek di dalam kereta ketika mereka berada di kawasan air terjun sekitar pukul 6.30 petang.
“Mangsa juga memberitahu yang dia dirogol oleh seorang lagi suspek pada pukul 8.30 malam ketika mengikut lelaki itu pulang ke rumahnya di daerah Hilir Perak.
“Kejadian yang terakhir pula berlaku di kawasan semak pada pukul 12.30 tengah malam (Khamis) ketika kanak-kanak itu mengikut suspek keempat bersiar-siar,” katanya di sini kelmarin.
Menurut beliau, hasil soal siasat awal yang dijalankan ke atas kesemua suspek mengaku bahawa mereka terlibat dalam kes tersebut.
Berdasarkan siasatan katanya, mangsa mengenali suspek pertama berusia 16 tahun melalui media sosial sebelum dia diperkenalkan kepada tiga suspek lain.
“Keempat-empat remaja itu direman selama tiga hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan sebaik sahaja siasatan kes ini dilengkapkan,” ujar beliau.

































