Suasana sesak di KLIA 2 setakat petang kelmarin kerana gangguan IT yang menjejaskan perkhidmatan di seluruh kaunter daftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA2.
PUTRAJAYA: Perkhidmatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak terjejas oleh gangguan sistem komputer global yang mengakibatkan sebahagian besar perjalanan tergendala di Eropah, Amerika Syarikat dan lapangan terbang Australia.
Menurut Utusan Malaysia, MAHB dalam hantaran di aplikasi X bagaimanapun memaklumkan, beberapa rakan kongsi syarikat penerbangan mengalami gangguan disebabkan isu berkenaan.
“Untuk maklumat terkini dan arahan mengenai penerbangan, penumpang boleh semak terus dengan syarikat penerbangan masing-masing.
“Kakitangan lapangan terbang MAHB berada di lokasi untuk membantu penumpang dari syarikat penerbangan ini,” katanya dalam hantaran itu.
Terdahulu media melaporkan, gangguan sistem komputer global di seluruh dunia hari ini turut menjejaskan beberapa perkhidmatan utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 setakat petang kelmarin.
Menurut tinjauan di media sosial, seluruh kaunter kelihatan sesak kerana pendaftaran penerbangan harus dibuat secara manual kerana sistem mengalami gangguan teknikal.
Difahamkan, para penumpang yang masih belum ada pas masuk wajib beratur di kaunter untuk melakukan pendaftaran manual.

































