PAPAR (Bernama): Berjaya Corporation Berhad (BCorp) menyumbangkan sebuah bas coaster 28 tempat duduk kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph di sini menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan melalui Berjaya Cares Foundation (BCF).
Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata sumbangan itu dapat membantu pihak sekolah menyediakan kemudahan pengangkutan yang lebih teratur untuk pelajar menyertai pelbagai aktiviti di luar sekolah.
“Saya berbesar hati menyaksikan penyerahan bas ini oleh Pengasas dan Penasihat BCorp merangkap Pengerusi Berjaya Cares Foundation Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun kepada Pengetua sekolah, Jenith Mahibol.
“Sumbangan ini bermula daripada hasrat BCorp yang disampaikan kepada saya untuk melaksanakan program CSR di satu daripada sekolah di Papar,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan itu di sekolah berkenaan di sini hari ini.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata usaha itu selaras dengan aspirasi Program Sekolah Angkat MADANI yang menggalakkan kerjasama strategik antara kerajaan, sektor korporat dan komuniti dalam memenuhi keperluan sekolah serta memperkasakan potensi murid.
“Memandangkan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) telah memilih SMK Benoni sebagai Sekolah Angkat MADANI bagi 2026, saya mencadangkan agar inisiatif CSR BCorp dilaksanakan di SMK St Joseph,” katanya.
Beliau berkata selama 73 tahun, SMK St Joseph menjadi institusi yang mendidik generasi demi generasi anak Papar dan mempunyai nilai sentimental tersendiri buat dirinya.
“Pada 1992, lebih tiga dekad lepas, saya pernah menimba ilmu di sini (SMK St Joseph) serta berkongsi pengalaman zaman persekolahan bersama para guru dan rakan-rakan yang sedikit sebanyak membentuk diri saya hari ini.
“Justeru, setiap kali kembali ke sekolah ini, hadir rasa seperti pulang ke tempat yang menyimpan begitu banyak kenangan. Dapat menyaksikan satu lagi kemudahan disumbangkan untuk membuka ruang dan peluang kepada generasi hari ini tentunya membawa nilai dan makna yang amat besar,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan sektor swasta dalam agenda pendidikan menerusi pendekatan keseluruhan negara.
Selain bas berkenaan, BCF turut menyumbangkan 500 bakul makanan kepada pihak sekolah untuk diagihkan kepada pelajar daripada golongan memerlukan. — BERNAMA
































