Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles
KOTA KINABALU: Sabah perlu mempergiat pembangunan industri hiliran bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat dan memastikan nilai ekonomi sumber tempatan dinikmati dalam negeri.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB), Haji Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles berkata, pendekatan itu selaras dengan saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, supaya aktiviti hiliran dijadikan budaya dan hala tuju pembangunan ekonomi Sabah.
Beliau berkata, sudah tiba masanya Sabah beralih daripada sekadar mengeluarkan dan mengeksport bahan mentah kepada sebuah negeri yang mampu memproses, menghasilkan serta memasarkan produk siap berkualiti tinggi.
“Saya menyokong sepenuhnya saranan Ketua Menteri. Sabah mempunyai kekayaan sumber pertanian dan komoditi yang besar. Jangan sampai kita hanya mengeluarkan bahan mentah, kemudian produk bernilai tinggi itu dihasilkan di tempat lain dan kita membeli semula dengan harga yang lebih mahal,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, penghasilan Bantal Lateks Lumi Borneo menggunakan lateks tempatan adalah contoh bagaimana sumber negeri boleh diproses menjadi produk akhir bernilai tambah dan membuka ruang kepada lebih banyak inovasi berasaskan sumber tempatan.
“Kalau getah boleh menghasilkan bantal lateks, kita perlu melihat lebih jauh lagi. Tilam lateks, kasut getah dan pelbagai produk lain boleh diterokai. Begitu juga dengan komoditi lain yang kita ada di Sabah,” katanya.
Yazid berkata, pembangunan industri hiliran bukan hanya mengenai keuntungan, sebaliknya mampu mewujudkan rantaian ekonomi lebih luas membabitkan pemprosesan, teknologi, pembungkusan, kawalan kualiti, pemasaran, logistik dan pengedaran.
Katanya, perkembangan itu sekali gus dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada anak muda Sabah, termasuk di kawasan luar bandar, tanpa mereka perlu berhijrah ke luar negeri untuk mencari pekerjaan.
Beliau turut menegaskan pekebun kecil, petani, peladang dan nelayan perlu menjadi antara pihak yang menerima manfaat langsung daripada pembangunan industri hiliran.
“Nilai tambah yang kita hasilkan mestilah akhirnya kembali kepada rakyat. Jangan hanya bahan mentah yang keluar dari kampung, tetapi nilai ekonomi yang besar pula dinikmati di tempat lain,” katanya.
Dalam konteks industri getah, beliau berkata, kejayaan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menghasilkan produk berasaskan lateks tempatan membuktikan agensi negeri mempunyai potensi memainkan peranan lebih besar dalam memperkukuh industri hiliran.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri perlu terus memperkukuh sokongan dalam penyelidikan, teknologi, latihan kemahiran, pembiayaan dan pemasaran supaya produk tempatan mampu berkembang daripada pasaran Sabah ke peringkat nasional dan antarabangsa.
“Kita jangan hanya bertanya apa yang boleh kita keluarkan dari Sabah. Kita mesti mula bertanya apa yang boleh kita hasilkan daripada apa yang kita ada di Sabah.
“Daripada bahan mentah kepada produk siap, daripada pengeluar kepada usahawan, daripada kampung kepada pasaran dunia — inilah arah yang perlu kita bina bersama,” katanya.
































