Dr. Joachim (tujuh dari kiri) bersama barisan kepimpinan baharu PBS selepas selesai proses pemilihan parti sempena Persidangan Perwakilan PBS Kali Ke-41 di Dewan Hakka, Kota Kinabalu, semalam.
KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam secara rasmi mengambil alih kepimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai Presiden, menggantikan Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-41 di sini, semalam.
Dr. Joachim yang menang tanpa bertanding bagi penggal 2026-2029, menjadi Presiden ketiga PBS selepas Presiden Pengasas, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Dr. Maximus.
Beliau sebelum ini memangku jawatan Presiden sejak 1 Jun 2024 selepas Dr. Maximus menyerahkan tanggungjawab kepimpinan parti kepadanya.
Pemilihan Dr. Joachim tanpa bertanding bagi penggal 2026-2029 disahkan selepas pencalonan ditutup pada 31 Julai lalu.
Dalam Ucapan Dasar Presiden pertamanya selepas mengambil alih kepimpinan secara rasmi, Dr. Joachim menggariskan hala tuju untuk memperkukuh dan meremajakan PBS dengan perpaduan, kestabilan dan integriti sebagai tiga tonggak utama kepimpinannya.
Beliau menegaskan PBS perlu terus bergerak seiring perubahan landskap politik, komunikasi dan generasi tanpa mengabaikan prinsip perjuangan parti serta komitmennya mempertahankan hak dan kepentingan Sabah.
Menurutnya, usia lebih empat dekad tidak seharusnya menyebabkan PBS terperangkap dalam pendekatan lama, sebaliknya parti perlu terus melakukan pembaharuan bagi memastikan perjuangannya kekal relevan kepada generasi semasa dan akan datang.
Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, turut mengumumkan cadangan penubuhan pasukan petugas khas yang dianggotai tokoh dan anggota parti berpengalaman bagi meneliti strategi serta langkah untuk terus memperkukuh dan meremajakan PBS.
Pada masa sama, PBS akan memberi perhatian kepada pengukuhan struktur organisasi, penggunaan teknologi dan digitalisasi serta pembangunan generasi kepimpinan baharu bagi memastikan parti terus dekat dan relevan, khususnya kepada golongan muda Sabah.
Dalam barisan kepimpinan baharu PBS, Datuk Julita Majungki dikekalkan sebagai Setiausaha Agung, manakala Prof. Madya Dr. Bonaventure Boniface dilantik sebagai Ketua Penerangan parti.
Bagi jawatan Timbalan Presiden, Datuk Joniston Bangkuai bagi kuota Bumiputera Bukan Islam dan Datuk Ruslan Muharam bagi kuota Bumiputera Islam masing-masing menang tanpa bertanding bagi penggal 2026-2029.
Joniston kini merupakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, manakala Ruslan merupakan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui memenangi jawatan Timbalan Presiden bagi kuota Cina, juga tanpa bertanding.
Kemenangan Lo turut memberikan dimensi penting kepada barisan kepimpinan baharu PBS kerana beliau merupakan wakil parti itu di peringkat Parlimen menerusi kerusi P.190 Tawau.
Sebelum menangguhkan persidangan, Dr. Joachim turut mengumumkan pelantikan tiga pemimpin parti bagi mengisi jawatan penting, iaitu Datuk Julita Majungki sebagai Setiausaha Agung, Datuk Lu Kim Yen yang dilantik semula sebagai Bendahari Agung dan Dr. Bonaventure Boniface sebagai Ketua Penerangan.
Julita juga merupakan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, manakala Dr. Bonaventure ialah Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti.
Dr. Bonaventure sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Penerangan PBS.
Peralihan kepimpinan itu membuka lembaran baharu bagi PBS yang ditubuhkan pada 1985 dan kini memasuki dekad kelima perjuangannya.
Di bawah kepimpinan Dr. Joachim, PBS mahu bergerak sebagai sebuah parti berbilang kaum yang moden, kukuh dan berintegriti, sambil terus mempertahankan identiti serta prinsip perjuangannya termasuk memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah.
Keputusan pemilihan PBS 2026-2029
Presiden
Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam
Timbalan Presiden (Biru)
Datuk Joniston Bangkuai — menang tanpa bertanding
Timbalan Presiden (Kuning)
Datuk Ruslan Muharam — menang tanpa bertanding
Timbalan Presiden (Merah)
Datuk Lo Su Fui — menang tanpa bertanding
Naib Presiden I (Biru)
Datuk Hendrus Anding — menang tanpa bertanding
Naib Presiden II (Biru)
Datuk Johnnybone J Kurum — menang tanpa bertanding
Naib Presiden I (Kuning)
Sahrol Mahoolop — 441 undi
Naib Presiden II (Kuning)
Haji Mursid Mohd. Rais — 220 undi
Naib Presiden (Merah)
Datuk Arthur Sen Siong Choo — 500 undi
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) — Biru
- Junid Gunsalam — 398 undi
- Datuk John Chryso Masabal — 352 undi
- Dr. Samuil Mopun — 332 undi
- Datuk Suman Yasambun — 322 undi
- Stanis Buandi — 233 undi
- Masum Takin — 220 undi
- Julius Atung — 211 undi
AMT — Kuning
- Hajah Fazidah Mohd. Yassin — 360 undi
- Aliamis Sami — 344 undi
- Juin Saman — 272 undi
- Aliyu Zinin — 263 undi
- John Anthony @ Faizal And Rahman — 233 undi
AMT — Merah
- Yee Tsai Yiew — 485 undi
- Tong Yong Wai — 299 undi
- Sheiron Chang — 286 undi
- Datuk Lim Vun Chan — 257 undi
































