KULAI (Bernama): Sebanyak 101.66 juta panggilan penipuan atau spoof call disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dalam tempoh Februari hingga Ogos lepas.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kejayaan itu dicapai menerusi pelaksanaan inisiatif Inter Operator Spoofing Gateway yang dilaksanakan sejak awal tahun ini.
Beliau berkata sindiket penipuan di luar negara menggunakan taktik Caller ID Spoofing bagi memaparkan nombor telefon seolah-olah daripada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi tempatan bagi memperdayakan mangsa di negara ini.
“Jumlah keseluruhan panggilan spoof yang disekat sebanyak 101.66 juta ini membuktikan bahawa inisiatif ini sangat berkesan,” katanya ketika ditemui pada program Tonton Wayang Bersama Ahli Parlimen Kulai di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah panggilan penipuan yang disekat setakat ini.
Dalam pada itu, Teo berkata MCMC akan mengadakan mesyuarat secara dalam talian bersama pihak Meta esok berkaitan aduan orang ramai berhubung kes akaun WhatsApp yang disekat.
Beliau berkata mesyuarat itu bertujuan mendapatkan taklimat terperinci berkaitan kes berkenaan.
“Kami (kementerian) akan menunggu hasil (maklumat) daripada mesyuarat pada hari berkenaan,” katanya.
MCMC sebelum ini dilaporkan sedang meneliti aduan orang ramai berhubung akaun WhatsApp yang dilaporkan digodam, disekat atau tidak lagi dapat diakses.
Suruhanjaya itu memaklumkan pihaknya telah mengemukakan kes berkenaan kepada Meta bagi mendapatkan penjelasan serta tindakan sewajarnya. — BERNAMA
































