Armizan Mohd Ali
KOTA KINABALU (Bernama): Peruntukan bagi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) diharap dapat ditambah melalui Belanjawan 2027 untuk memperluas program itu dan lebih ramai rakyat menikmati manfaatnya, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata sambutan menggalakkan serta manfaat penjimatan yang dinikmati rakyat menjadi asas kepada komitmen kerajaan untuk meneruskan dan memperluas pelaksanaan PJRM sebagai antara intervensi menangani isu kos sara hidup.
“Kita mengharapkan dan memohon kepada Kementerian Kewangan khususnya supaya peruntukan dapat dipertimbangkan dan ditambah dalam Belanjawan 2027 kerana ini (PJRM) merupakan program secara langsung sampai kepada rakyat. Rakyat boleh memanfaatkan subsidi itu secara bersasar dan langsung,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Selawat dan Tadabbur Syukbah Wanita Parlimen Papar di Masjid Daerah Papar di sini yang dihadiri kira-kira 1,500 orang.
Katanya berdasarkan penetapan peruntukan khusus bermula Belanjawan 2024, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berupaya menetapkan sasaran pelaksanaan secara tahunan dan bulanan serta memperluas akses rakyat kepada PJRM.
Armizan berkata dari Januari 2023 hingga 23 Sept 2026, PJRM merekodkan 81,455,623 transaksi dan jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 9,244,504 transaksi direkodkan pada 2023, meningkat kepada 12,826,708 transaksi pada 2024.
“Melalui pertambahan peruntukan yang disalurkan kepada KPDN, kehadiran rakyat dalam PJRM jauh meningkat dengan mencapai 27,534,770 transaksi pada 2025 dan terus melonjak kepada 31,849,641 transaksi bagi tempoh 1 Jan hingga 23 Sept 2026,” katanya.
Beliau berkata peningkatan transaksi itu mencerminkan sambutan baik oleh rakyat terhadap PJRM yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
Armizan berkata inisiatif itu pada asalnya dirintis sebagai program jualan murah yang diterajui kerajaan di bawah agenda Payung RAHMAH pada 2023 sebelum diperkasakan sebagai PJRM pada 2024, sekali gus menjadi inisiatif tetap kerajaan dengan peruntukan khusus.
Dalam pada itu, Armizan berkata akses rakyat kepada maklumat mengenai penganjuran PJRM turut dipertingkatkan selaras dengan peningkatan skala pelaksanaan program itu.
Katanya orang ramai kini boleh menyemak Takwim PJRM menerusi laman sesawang PJRM serta aplikasi Info Jualan Rahmah MADANI yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple Store.
Beliau berkata bermula 1 Okt ini, KPDN turut memperkenalkan pemasangan pelekat khas yang memaparkan kod QR Takwim PJRM di lokasi tumpuan awam di seluruh negara.
“Pemasangan pelekat khas ini tertakluk kepada permintaan dan persetujuan pihak pengurusan atau pemilik premis. Melalui imbasan kod QR tersebut, orang ramai boleh merujuk Takwim PJRM bagi menyemak tarikh dan lokasi penganjuran yang berhampiran dengan kawasan masing-masing.
“Antara lokasi pemasangan pelekat itu ialah kawasan perumahan awam, pasar awam, pasar tani dan tamu, dewan serta pusat komuniti, terminal pengangkutan awam, rumah ibadat, institusi keagamaan dan premis perniagaan,” katanya. — BERNAMA
































