KUALA LUMPUR: Kegiatan satu sindiket judi dalam talian merekrut individu berkemahiran dalam bidang pengatur cara perisian atau programmer terbongkar selepas 24 individu ditahan menerusi dua serbuan di Jalan Tun Razak pada 27 Jun lalu.
Siasatan awal polis mendapati, sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi dengan menawarkan pekerjaan kepada individu tertentu sebagai ‘programmer’ dengan tawaran gaji sekitar RM5,000 hingga RM12,000.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, mereka ini akan diupah membangunkan perisian bagi laman judi dalam talian dengan menyasarkan pembeli atau pemain di luar negara.
Kata beliau, sindiket ini juga berselindung di sebalik syarikat sah yang menawarkan caruman pertubuhan keselamatan sosial (Perkeso) dan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat bagi mengaburi pihak berkuasa.
Beliau berkata, menerusi serbuan pertama yang dilakukan pada pukul 3 pagi berjaya memberkas 15 individu termasuk dua warga China.
“Serbuan kedua pada pula dilakukan pukul 3 petang yang mana sembilan individu termasuk tujuh warga China diberkas.
“Siasatan mendapati dua serbuan ini membabitkan dua sindiket berlainan yang telah aktif sejak enam bulan lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil kedua-dua serbuan ini, polis berjaya menahan 24 individu termasuk 10 wanita berusia lingkungan 24 hingga 44 tahun bagi siasatan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Kata beliau, warga China yang ditahan juga dikesan masuk ke Malaysia menggunakan pas pelancong.
“Siasatan mendapati sindiket ini boleh mendapat keuntungan kira-kira RM50,000 sehari bagi setiap perisian yang dijual kepada pihak ketiga.
“Sindiket itu menjadikan unit apartmen yang disewa di Jalan Tun Razak sebagai pejabat bagi programmer berkenaan bekerja di premis terbabit,” jelasnya.
Tambah Mohamad Lazim, pelbagai barangan dirampas seperti kad akses, komputer riba, telefon bimbit, ipad dan router dirampas hasil serbuan itu..
“Polis memberi amaran keras agar tidak terlibat dengan sebarang kesalahan jenayah dan orang ramai disaran untuk salurkan maklumat di Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau Hotline Polis Wangsa Maju 03-92899222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.


































