BRASILIA: Brazil menyekat Meta daripada menggunakan hantaran Instagram dan Facebook rakyatnya untuk melatih model kecerdasan buatan (AI).
Ini berlaku beberapa minggu selepas syarikat tersebut menggugurkan rancangan serupa untuk menggunakan hantaran pengguna dari United Kingdom (UK) dan Eropah bagi tujuan sama.
Menurut Utusan Malaysia, Agensi Perlindungan Data Kebangsaan (ANPD) Brazil berkata, pihaknya akan menggantung serta-merta dasar privasi terkini Meta, yang membolehkannya melatih model AI generatif seperti chatbot berdasarkan hantaran pengguna.
Jurucakap Meta memberitahu BBC, syarikat tersebut ‘kecewa dengan keputusan itu’ dan menegaskan pendekatan mereka mematuhi undang-undang privasi tempatan.
“Ini adalah satu langkah ke belakang untuk inovasi, persaingan dalam pembangunan AI dan lebih banyak penangguhan membawa manfaat AI kepada penduduk Brazil,” kata syarikat itu.
Meta mempunyai pasaran yang signifikan di Brazil. Terdapat 102 juta pengguna Facebook dan lebih 113 juta pengguna Instagram di negara tersebut.
ANPD berkata, pihaknya bertindak terhadap ‘risiko kerosakan serius dan tidak diperbaiki atau kesukaran hak-hak asasi pemilik akaun yang terjejas’.
Meta diberi tempoh lima hari dari keputusan ANPD untuk menunjukkan mereka meminda dasar privasinya, mengecualikan penggunaan maklumat peribadi yang terdapat dalam hantaran umum bagi melatih AI generatif.
Jika gagal mematuhi, syarikat induk media sosial tersebut akan berdepan denda harian R$50,000 (RM42,392).
Dasar kemas kini Meta juga menjadi tumpuan penelitian di UK dan Kesatuan Eropah (EU).
Di bawah perubahan dasar privasi yang berkuat kuasa 26 Jun, maklumat pengguna Meta akan digunakan untuk membangun dan menambah baik produk AI.
Di Eropah, perubahan dasar itu akan meliputi hantaran, gambar, keterangan gambar, komen dan ‘Stories’ yang dikongsi oleh pengguna berumur 18 tahun ke atas kepada khalayak umum di Facebook dan Instagram, tetapi tidak termasuk pesanan peribadi.
Namun, ia tidak terlaksana selepas Meta memaklumkan menerima permintaan daripada Suruhanjaya Perlindungan Data Ireland (DPC) dan pihak berkepentingan Eropah lain untuk menangguhkan latihan model bahasa besar (LLM).
LLM ialah sejenis kecerdasan buatan yang menguasai chatbot, seperti OpenAI’s ChatGPT dan Google Gemini.


































