Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Sejumlah 37,002 panggilan mangsa penipuan dalam talian atau scam direkodkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dengan jumlah kerugian yang dilaporkan sebanyak RM203.33 juta, setakat Mei tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, NSRC sejak penubuhannya pada 12 Oktober 2022 sehingga Mei lepas menerima jumlah panggilan sebanyak 95,094 kes.
“Kertas siasatan yang dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah sebanyak 10,649 bagi kes kesalahan penipuan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan. manakala 74 kertas siasatan bagi kesalahan pengubahan wang haram telah dibuka melibatkan pembekuan 637 akaun yang berjumlah RM72.38 juta,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang ingin tahu sejauh mana keberkesanan NSRC dalam menangani jenayah penipuan dalam talian dan mengesan modus operandi ‘scammer’.
Anwar berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi tindakan secara bersepadu telah mengambil tindakan sekatan nombor telefon yang digunakan oleh scammers.
“Setakat Mei 2024, sebanyak 131 nombor talian telah ditamatkan kerana terlibat dengan aktiviti penipuan dan 112 nombor talian yang meragukan telah disekat,” katanya.
Terdahulu, Anwar berkata, kesepaduan tindakan pihak agensi penguat kuasa di bawah NSRC pula membolehkan modus operandi yang dijalankan oleh sindiket penipuan itu dikenal pasti dengan lebih pantas dan penyiasatan lanjut dilaksanakan dengan berkesan.
Selain itu, katanya, pihak NSRC menerusi SKMM dan dibantu oleh industri telekomunikasi dapat mengenal pasti ini nombor-nombor telefon yang digunakan dalam perlakuan kesalahan penipuan berkenaan dengan tindakan sekatan dan penamatan perkhidmatan nombor-nombor telefon berkenaan juga boleh diambil.
“Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama pihak institusi perbankan, berdasarkan panggilan yang diterima oleh pihak NSRC, dan siasatan lanjut oleh pihak PDRM telah mengenal pasti akaun-akaun bank keldai yang digunakan dalam penyaluran wang haram.
“Tindakan penyenaraian hitam, sekatan, penyitaan dan penutupan akaun-akaun keldai tersebut dapat dilaksanakan dan pendakwaan dapat dimulakan ke atas pemilik-pemilik akaun keldai.
“Nombor-nombor akaun dan telefon yang terbabit itu juga akan direkodkan di dalam sistem Semak Mule pihak PDRM sebagai rujukan dan panduan termasuk untuk membolehkan orang awam membuat semakan sebelum mereka meneruskan transaksi kewangan mereka,” katanya.


































