PETALING JAYA: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mendapati berlaku penyalahgunaan dana Majlis Profesor Negara (MPN) bagi pembiayaan operasi dua syarikat persendirian yang berjumlah RM373,516, lapor Utusan Malaysia.
Dua ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) MPN juga didapati tidak mengisytiharkan kepentingan mereka sebagai pemilik saham kepada dua syarikat persendirian berkenaan selaras dengan Akta Syarikat 2016 (Akta 777).
LKAN juga mendapati pembayaran elaun tetap Pengerusi dan Timbalan Pengerusi MPN berjumlah RM207,000 dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.
PEMBAYARAN
Selain itu, LKAN juga mendapati wujud pembayaran yang dibuat tanpa kelulusan LPA iaitu honorarium felo penyelidik berjumlah RM399,000, pemasangan lif dan pengubahsuaian pejabat berjumlah RM82,500 dan penyelarasan gaji pengurusan tertinggi berjumlah RM62,500.
“Pembayaran elaun tetap Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif berjumlah RM66,000,” kata laporan itu.
Dalam pada itu, LKAN juga mendapati berlaku ketidakcekapan pengurusan geran apabila pengiktirafan geran tertunda dianggap sebagai hasil berjumlah RM2.43 juta tanpa dokumen sokongan dan RM0.92 juta dibelanjakan tidak mengikut tujuan geran diluluskan serta RM475,000 peruntukan tidak digunakan.
“Pembayaran kad kredit korporat berjumlah RM98,076 dan wang pendahuluan berjumlah RM20,000 turut dilakukan tanpa dokumen sokongan,” menurut laporan itu.
Justeru, LKAN mengesyorkan beberapa cadangan antaranya Jabatan Perdana Menteri perlu mengkaji semula status MPN sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan.
Status MPN perlu diputuskan sebelum dipertimbangkan sama ada penyaluran peruntukan geran kepada MPN wajar diteruskan.
ENTITI BEBAS
Sementara itu, MPN dalam satu kenyataan berkata, majlis itu tidak menerima dana kerajaan sejak pembubarannya pada 2018 dan beroperasi dengan pembiayaan sendiri sebagai entiti bebas sehingga Januari 2022.
Katanya, MPN mengambil inisiatif bagi menentukan kelangsungannya, selain meminda Perlembagaan selaras dengan kedudukan serta statusnya.
“Kerajaan membuat keputusan membubarkan majlis itu berkuat kuasa 23 Mei 2018 yang secara langsung mengeluarkannya daripada naungan kerajaan sebelum menerima semula dana daripada kerajaan pada 2022.
“Mulai tarikh pembubaran itu, MPN tidak lagi menerima saluran dana kerajaan dan beroperasi dengan pembiayaan sendiri,’’ kata kenyataan itu.


































