JOHOR BAHRU: Seorang akauntan berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM2.27 juta selepas terpedaya dengan sindiket scammer yang menjalankan skim pelaburan saham secara dalam talian.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, mangsa berusia 75 tahun itu mula terjerat dengan penipuan bermula 19 Disember tahun lalu selepas menerima tawaran melalui WhatsApp.
“Mesej berkenaan memberi penerangan tentang cara membuat pelaburan dengan turut menjanjikan keuntungan lumayan secara mudah dalam masa singkat.
“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa mengikut arahan dalam mesej berkenaan dan memuat turun satu aplikasi. Mangsa turut mendaftar bank akaun bagi memantau pelaburan dibuat.
“Mangsa kemudian mula membuat pelaburan pada Mei dan Jun tahun ini melalui beberapa transaksi dengan keseluruhan wang dipindahkan berjumlah RM2.27 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Kumar, mangsa kemudian dimaklumkan telah mencatat keuntungan sebanyak RM12.9 juta hasil pelaburan dibuat.
“Bagaimanapun, sindiket berkenaan meminta mangsa membayar komisen sebanyak RM1.6 juta sebelum dapat mengambil keuntungan berkenaan.
“Mangsa tidak membuat pembayaran komisen sebaliknya mengesyaki telah ditipu,” katanya.
Mangsa membuat laporan polis, semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


































