PETALING JAYA: Malaysia bakal menyaksikan taburan hujan tinggi dan cuaca lembap ekoran fenomena La Nina yang dijangka bermula Julai sehingga Oktober ini.
Menurut Utusan Malaysia, Felo Akademi Sains Malaysia, Dr. Fredolin Tangang berkata, suhu permukaan laut ketika ini memaparkan tren penurunan sekali gus konsisten menunjukkan keadaan di Lautan Pasifik mula bertukar kepada fasa sejuk.
Sehubungan itu, katanya, indikator itu menunjukkan La Nina kebarangkalian berlaku adalah antara sekitar 70 hingga 80 peratus.
“Malah menurut ramalan dikeluarkan Apec Climate Center (APCC) di Busan Korea pada 30 April lalu, dengan berdasarkan ramalan pelbagai model khususnya keadaan di Lautan Pasifik sepanjang Mei hingga Oktober ini adalah tempoh perkembangan fenomena La Nina.
“Ramalan dikeluarkan oleh APCC ini juga menunjukkan taburan hujan di Malaysia pada bulan Mei lebih basah berbanding normal kecuali di utara Sabah. Keadaan ini berterusan sehingga Julai.
“Bagaimanapun seperti kebiasaan Malaysia mula beralih ke musim monsun barat daya pada awal Jun dan keadaan panas dan kering akan sering berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan La Nina yang biasanya membawa keadaan cuaca lebih lembap dijangka bermula Julai ini dengan fenomena itu lazimnya mencapai kemuncaknya menjelang akhir tahun dan berterusan pada awal tahun depan.
Menurut jabatan itu, La Nina bersama-sama dengan monsun timur laut yang biasanya bermula pada bulan November boleh memanjangkan keadaan cuaca lembap di sepanjang Pantai Timur Semenanjung sehingga Mac tahun depan.
Dalam pada itu, Fredolin berkata, mengambil kira keadaan Lautan Pasifik yang bertukar kepada keadaan La Nina pada separuh masa kedua tahun ini, ada kemungkinan suhu purata dunia lebih rendah berbanding trend pemanasan global.
Menurutnya, menurut laporan dikeluarkan sebuah pusat iklim berpangkalan di Eropah yang memantau suhu dunia iaitu Copernicus Climate Change Service, sejak setahun lalu dari April 2023 hingga Mac lalu menunjukkan suhu purata dunia melebihi 1.58 darjah celcius berbanding suhu purata sebelum zaman Pra-perindustrian Eropah.
Beliau berkata, tiga bulan lalu menyaksikan Mac menjadi bulan terpanas sejak 1991 hingga 2020.
Bagaimanapun katanya, suhu pada bulan Mac lau telah menurun berbanding Februari seiring dengan proses penurunan fenomena El Nino.
“Rekod menunjukkan suhu dunia meningkat semasa fenomena El Nino dan lebih tinggi berbanding trend yang disebabkan fenomena pemanasan global akibat peningkatan gas-gas rumah hijau,” katanya.


































