Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Semua Islam diajak menghayati iktibar dan mesej kesederhanaan dalam ibadah haji agar sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan tarikan kemewahan dunia yang sementara.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ibadah itu memberi mesej kesederhanaan dan meninggalkan kemewahan menerusi yang ditonjolkan melalui semua manasik haji.
“Tatkala berihram dengan pakaian serba putih nan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan dan kesederhanaan.
“Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan. Demikian juga wukuf di Arafah, suatu perhimpunan raksasa tanpa mengira status, darjat dan pangkat, membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Azza wa Jalla,” katanya dalam Perutusan Hari Raya Aidiladha hari ini.
Menurut Perdana Menteri, peluang mengembara ke Mekah untuk menunaikan haji merupakan antara kurniaan besar Ilahi kepada hambanya.
“Kita mengenang manasik haji sebagai salah satu rukun Islam. Namun seyogia diingat, haji punyai maqasid kerohanian yang tersendiri bertujuan merubah jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mendoakan agar para jemaah yang kini berada di Tanah Suci beroleh haji yang mabrur dan semoga pulang ke tanah air dengan sejahtera.
Anwar kemudian mengingatkan umat Islam agar tidak melupakan golongan asnaf di kota dan desa ketika meraikan Aidiladha.
“Kongsilah nikmat Tuhan bersama mereka dan bahagiakan mereka dengan mengerjakan ibadah korban,” katanya.


































