Ramli Mohamed Yoosuf
PETALING JAYA : Polis mengesan terdapat pengeluar produk kesihatan palsu menggunakan nama seorang selebriti yang juga pakar kesihatan tanpa kebenaran untuk menjual dan mengiklankan produk berkenaan di media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penggunaan imej selebriti berkenaan dipercayai untuk mengelirukan pembeli.
Kata beliau, apa yang membimbangkan adalah produk berkenaan dipercayai mampu memberikan kesan negatif kepada kesihatan individu yang mengambilnya.
“Produk palsu ini menggunakan imej individu terkenal bagi mengelirukan pembeli dan memberi gambaran seolah-olah produk berkenaan dihasilkan selebriti terbabit.
“Terbaharu polis mendapat maklumat daripada seorang pakar kesihatan yang juga selebriti mendakwa gambar dan nama syarikatnya digunakan tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, platform media sosial sering menjadi pilihan utama bagi mempromosikan produk kesihatan atas beberapa faktor terutama kerana kosnya yang lebih rendah dan jumlah penonton yang tinggi berbanding medium lain.
Kata beliau, kemudahan itu bagaimanapun sering disalahgunakan dan dimanipulasi oleh segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab.
“Paparan iklan produk kesihatan yang bertujuan mengelirukan dan memberdaya pembeli adalah satu tindakan amat tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang,”jelasnya.
Justeru itu, beliau menasihati orang ramai untuk sentiasa berhati-hati agar tidak terpedaya dengan iklan produk kesihatan palsu yang berleluasa di internet.
Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa produk kesihatan palsu yang diiklankan dalam talian khususnya media sosial.
“Dapatkan nasihat pakar kesihatan dan semak panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum membeli produk kesihatan secara dalam talian,” katanya.
































