Anwar Ibrahim ketika berucap pada Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia di Uzbekistan. – X PM
PETALING JAYA: Syarikat dan agensi di Malaysia disaran berubah dalam tempoh singkat seiring dengan perkembangan semasa.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara ditekankan ketika berucap mengetuai delegasi Malaysia dalam Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia bersama-sama pimpinan Kerajaan Uzbekistan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Jamshid Khodjaev.
Menurut beliau, syarikat dan agensi negara ini perlu belajar daripada keupayaan Uzbekistan mencetus perubahan, pemodenan dan kemajuan ekonomi dalam tempoh singkat.
“Meskipun negara seperti Malaysia dan Uzbekistan banyak bergantung pada pelaburan negara-negara besar, namun masa hadapan kita amat bergantung pada keupayaan membina kekuatan sendiri.
“Kedua-dua negara perlu menggunakan kekuatan masing-masing untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan.
“Kolaborasi sesama negara sedang membangun perlu diperkukuh untuk sama-sama menyokong pertumbuhan ekonomi dalam kalangan negara terlibat,” katanya dalam hantaran di laman sosial.
Pada masa sama, Anwar turut menyatakan keyakinan terhadap potensi kerjasama Malaysia-Uzbekistan dalam pelbagai sektor.
Menurutnya, ia seperti minyak dan gas, kejuruteraan, E&E, halal dan kewangan Islam, selain bidang-bidang baharu seperti teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia turut dihadiri lebih 200 tokoh industri dan ketua-ketua syarikat pelbagai sektor dari Malaysia dan Uzbekistan.
Difahamkan, antara yang hadir termasuklah syarikat-syarikat Uzbekistan dengan pendapatan tahunan lebih RM1 bilion seperti Eriell Group, Korzinka, Orient Group, Murad Buildings dan Asklepiy Group.
Selain itu, syarikat-syarikat Malaysia seperti Petronas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah, Proton, Sunway Group dan Sime Darby.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, beliau dan Jamshid menyaksikan pertukaran enam memorandum persefahaman (MoU) antara agensi kerajaan serta syarikat Malaysia dan Uzbekistan.
Katanya, MoU berkenaan turut membabitkan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan universiti tempatan.
“Insya-Allah, Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia ini dijangka menjana hasil eksport sekurang-kurangnya RM710 juta, yang bakal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Agensi-agensi perlu mempermudah dan menyegerakan urusan pelaburan ini,” katanya.
































