Andi (dua dari kiri) merasmikan majlis tersebut.
KOTA KINABALU: Sebanyak 58 karya artis luar negara dan tempatan dipamerkan pada pameran The Personality Of Bornean Art: Real and Imagined yang sedang berlangsung di bilik pameran Magavol, Galeri Azman Hashim, Universiti Malaysia Sabah (UMS) sejak 18 Mac sehingga 6 Jun, 2024.
Antaranya ialah karya Pengiran Wahab Hassan, Toney Gondoles, Christianne Goonting, Awang Fadilah, Mastini Asap, Arthur Siouwou, Azlan Dulikab, Harold Reagan Aswar, Albendoy Widdin, Ehlid Luli, Fauziahton Ag. Samad, Sue Ana, Muhammad Zaen Ismail dan Mastini Asap.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang merasmikan Majlis Soft Launch pameran ini kelmarin berkata, pada masa kini seni berperanan dalam membentuk budaya, sosial, ekonomi dan pendidikan.
Ini selain membangun kesedaran, menginspirasi perubahan dan memperkaya kehidupan manusia secara keseluruhan, tambahnya, tambahnya.
Beliau berkata, seni turut diekspresikan menerusi lukisan oleh pelukis-pelukis bagi menyampaikan idea atau gagasan mereka kepada masyarakat.
“Pelukis menggunakan lukisan sebagai media untuk mengekspresikan diri mereka secara kreatif. Mereka menggunakan warna, garis, dan bentuk untuk menyampaikan idea, perasaan dan pandangan mereka kepada dunia.
“Pelukis sering menggunakan karya seni mereka untuk merefleksikan budaya, sejarah, dan identiti masyarakat mereka.
“Selain pelukis, kolektor seni juga merupakan individu yang sangat penting dalam industri seni.
“Kita mengambil contoh Pameran The Personality Of Bornean Art: Real and Imagined yang sedang berlangsung sekarang yang mana lukisan-lukisan yang dipamerkan adalah koleksi-koleksi peribadi seorang kolektor seni.
“Kolektor-kolektor seni banyak mendukung dan memberi sokongan dengan membeli hasil-hasil karya mereka sekaligus dapat meningkatkan motivasi kepada pelukis-pelukis terus bekarya.
“Karya-karya yang dibeli sudah tentu akan dijaga dan dipelihara untuk dijadikan sumber pengetahuan dan informasi untuk generasi akan datang. Kolektor biasanya akan mempamerkan koleksi seni mereka samada di rumah atau pun di ruangan khas seperti galeri mini selain turut meminjamkan koleksi mereka kepada muzium ataupun galeri.”
Beliau berkata, Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul juga dapat dilihat selain menjadi kolektor seni, menjadi penganjur acara seni yang sering giat membantu pelukis-pelukis tempatan dengan mempromosikan karya mereka.
“Orang yang sebeginilah yang kita mahukan. Dengan demikian, kolektor seni memainkan peranan yang penting dalam ekosistem seni, memberi manfaat kepada perkembangan pelukis, pasaran seni dan apresiasi seni dalam masyarakat,” ujarnya.
Andi turut berharap industri seni di Sabah akan terus berkembang ke arah yang lebih positif.
“Kita perlu lebih ramai orang-orang seperti Dr. Awangku Hassanal Bahar yang dapat memberikan inspirasi kepada ahli politik, ahli perniagaan dan masyarakat umum agar meramaikan lagi dunia kolektor seni. Semakin ramai kolektor seni di Sabah ini maka pelukis-pelukis tempatan akan terus bersemangat untuk berkarya.”
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Galeri Azman Hashim, UMS yang bekerjasama dengan Dr. Awangku Hassanal Bahar atas penganjuran pameran ini.
“Saya percaya, usaha berterusan untuk mempelbagaikan aktiviti pameran yang menarik serta berimpak tinggi pada masa akan datang mampu untuk menarik pengunjung ke galeri ini,” ujarnya.


































