Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) akan memberikan tumpuan terhadap penggubalan dan pindaan beberapa undang-undang sedia ada.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, ini dijalankan bagi meningkatkan kecekapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi di bawah KKTP.
Katanya, antara penggubalan dan pindaan yang terlibat ialah seperti Pindaan Ordinan Perancang Bandar & Desa (BAB 141); Pindaan Housing Development (Control and Licensing) Rules 2008; Penggubalan Building Management Enactment; Penggubalan UUK Uniform Hotel, Lodging & Short Term Aaccomodation (STA) by-laws; dan Mewujudkan Peraturan-Peraturan Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2020.
“Ia juga melibatkan penyediaan beberapa garis panduan sebagai rujukan Pihak Berkuasa Tempatan seperti, Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Terbiar, Garis Panduan Pengurusan Anjing Terbiar dan Garis Panduan Pengurusan PPR Sabah.
“Pendekatan ini adalah selaras dengan komitmen Kementerian saya untuk memberikan perkhidmatan yang berkesan kepada masyarakat,” katanya.
Dr. Joachim berkata, Kementerian juga memberikan fokus terhadap pengukuhan integriti di semua 25 PBT dan agensi di bawah KKTPS sebagai pemangkin kepada peningkatan kualiti perkhidmatan yang lebih telus, unggul dan dipercayai.
Menurutnya, kejayaan kesemua PBT dan agensi di bawah Kementerian menyediakan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) pada 2023 diteruskan dengan usaha mendapatkan pengikitrafan Anti-Bribery Management System (ABMS).
Katanya, lima buah PBT terpilih selepas Majlis Perbandaran Sandakan yang telah berjaya mendapat persijilan tersebut pada tahun 2023, iaitu Majlis Daerah (MD) Lahad Datu, MD Tuaran, MD Kinabatangan, MD Beaufort dan MD Putatan.
Tambah beliau lagi, pada tahun ini, KKTPS meneruskan pelbagai usaha implementasi pendigitalan dalam perkhidmatan. Selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya.
“Kerjasama antara Kementerian saya dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan (KPKT) bagi pembangunan ePBT di PBT Sabah diteruskan.
“Selain itu, terdapat beberapa program pendigitalan yang sedang dirancang, termasuk mewujudkan aplikasi Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB), penambahbaikan Sistem Maklumat Setinggan Negeri Sabah, mewujudkan Sistem Inventori Pokok, dan mendigitalkan perkhidmatan pengurusan perumahan swasta dan Mahkamah Anak Negeri,” katanya.
Beliau berkata, KKTPS juga telah merancang untuk melaksanakan beberapa program dan pendekatan baharu pada tahun 2024, selaras dengan usaha meningkatkan dan memperkukuhkan kecemerlangan perkhidmatan.
“Ini termasuklah pemantapan Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Sabah, penyediaan awal Blue Print Bandar Pintar Negeri Sabah dan Pelan Tindakan Bandar Pintar (2023-2025) yang melibatkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan 5 PBT di bawah seliaan KKTP iaitu Majlis Perbandaran Tawau, Majlis Perbandaran Sandakan, Majlis Daerah Lahad Datu, Majlis Daerah Penampang dan Majlis Daerah Tuaran.
“Selain itu, usaha juga dijalankan bagi penyediaan pekeliling khas untuk pentadbiran dan pengurusan Sumber Manusia PBT seperti; Kenaikan pangkat kumpulan pengurusan dan profesional dalam perkhidmatan awam PBT Sabah; Pemilikan dan Pengisytiharan Harta oleh Pegawai dan Pekerja PBT; dan Program Penempatan Silang (ProPS) Pegawai PBT Sabah,” katanya ketika menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Mengenai bantuan penempatan bagi mangsa kebakaran di Kg. Bangau-Bangau, Semporna, Dr. Joachim berkata, jumlah keluarga warganegara yang terlibat dalam kebakaran pada tahun 2017 itu adalah seramai 104 keluarga.
“Buat masa ini mereka telah ditempatkan di Pusat Penempatan Transit Mangsa Kebakaran di Koloni Bangau-Bangau. Sebanyak RM8.25 juta diperuntukkan untuk menyusun dan menempatkan mangsa-mangsa kebakaran ini di tempat yang sesuai.
“Perancangan ini sedang dalam tindakan pelaksanaan. Namun perkara berkaitan lokasi sesuai perlu dimuktamadkan sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak Pejabat Daerah Semporna dan agensi-agensi berkaitan dalam perkara ini.
KKTP terbuka untuk mana-mana mangsa kebakaran ini menduduki PPR Bubul Ria.
“Bagi mangsa kebakaran yang telah menduduki PPR, tidak ada tindakan untuk mengeluarkan mereka daripada menduduki PPR tersebut,” katanya.
Tentang isu penyewaan PPR melebihi 10 tahun dan notis penamatan yang telah dikeluarkan di PPR Taman Sri Segindai dan PPR Taman Kinarut Ria, beliau berkata, Majlis Daerah Papar belum ada mengeluarkan arahan untuk kosongkan rumah, kecuali notis pengosongan yang dikeluarkan atas sebab pelanggaran syarat penyewaan.
Berkenaan usaha pihak LPPB memantau skim sewa atas sewa yang salah dari segi undang-undang, katanya, ia dijalankan melalui tindakan pemeriksaan secara mengejut oleh Task Force.
“Kegiatan tersebut melanggar syarat Perjanjian Penyewaan rumah dan kepada pelaku, tindakan diambil dengan menghantar surat tarik balik rumah dan notis penguncian, atau tindakan undang-undang untuk mengeluarkan penyewa sekiranya mereka enggan memberi kerjasama untuk mengosongkan rumah.”
Beliau turut memaklumkan, Majlis Daerah Papar dalam proses mengemukakan permohonan membina PPR baharu di kawasan Pantai Manis, Papar untuk dimasukan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Dr. Joachim turut menjelaskan isu mengenai perancangan kerajaan memodenkan pengurusan sisa pepejal di Kayu Madang.
“Buat masa ini terdapat beberapa pihak yang berminat untuk membina Waste To Energy (WTE) di Kota Kinabalu bagi menggantikan tapak pelupusan conventional sedia ada di Kayu Madang. Namun DBKK perlu mengkaji cadangan tersebut sebelum dikemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk kelulusan.
“KKTP sedang meneliti beberapa alternatif kaedah pengurusan sisa pepejal di. Antara aspek pertimbangan ialah kesesuaian kaedah, serta kadar bayaran masuk (tipping fee) yang dikenakan perlu dinilai mengikut kemampuan PBT.
“Kementerian akan memperkenalkan kaedah pengurusan sisa pepejal terkumpul dengan kaedah pirolisis, secara percubaan iaitu di Majlis Perbandaran Sandakan dan Majlis Daerah Papar, selaras dengan Dasar Kebangsaan yang menumpukan kepada peralihan pengurusan sisa pepejal ke arah ekonomi kitaran,” katanya.
Berkenaan isu sampah sarap yang masih tinggi di Semporna walaupun Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam telah ada, beliau berkata, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah pembersihan.
“Ini termasuk di kawasan penempatan berhampiran perairan Semporna. Beberapa aktiviti kebersihan seperti pertandingan kampung bersih dan gotong-royong perdana akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Pejabat Daerah Semporna, Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan penduduk setempat menjelang Mei 2024,” katanya.
Beliau berkata, di bawah Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap Seragam 2010, sesuatu PBT boleh mengenakan kompaun antara RM30 hingga RM500 kepada pesalah, dan mengenakan kompaun maksimum sebagai “deterent” kepada mereka yang membuang sampah.
“Tetapi perkara ini perlu dikaji terlebih dahulu kesesuaiannya agar tidak membebankan rakyat. Mengenai.cadangan melaksanakan kerja-kerja sosial, ianya turut perlu dikaji agar tidak menyalahi atau melanggar peruntukan sedia ada.
“Cadangan penambahan pemasangan kamera CCTV untuk tujuan pemantauan serta menugaskan pegawai-pegawai tidak berpakaian seragam untuk menyamar, meronda dan memantau dari semasa ke semasa merupakan cadangan yang baik dan akan dibincangkan di peringkat Kementerian,” katanya.
Beliau menambah bahawa KKTP sedang menimbang beberapa cadangan menaiktaraf pusat pelupusan sampah berteknologi tinggi seperti kaedah insinerator di Kota Kinabalu dan bandar-bandar lain dengan menggunakan pelbagai kaedah.
“Buat masa ini terdapat dua tapak Sanitary Landfill Level empat dengan kos operasi yang lebih efektif iaitu Tapak Pelupusan Bukit Gemok, Tawau dan Tapak Pelupusan Sook, Keningau.
“Sebuah tapak sanitary landfill juga sedang dalam perancangan untuk dibangunkan di kawasan Beaufort-Kimanis-Papar di bawah biayaan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara,” katanya.
Dr. Joachim berkata, di bawah DUN Kemabong kini terdapat lima orang KAN dan 18 orang WKAN, dan setakat ini, belum ada cadangan penambahan kuota memandangkan jumlah yang sedia ada mencukupi untuk operasi dan fungsi penuh Mahkmah Anak Negeri (MAN) Kemabong.
“Namun demikian, kementerian saya melalui Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah akan mengkaji semula keperluan untuk penambahan kuota terutamanya bagi kawasan yang mempunyai statistik kes MAN yang tinggi,” katanya.
Berkenaan permohonan untuk pelantikan Ketua Kampung bagi Kg. Likas Lama, Kg. Bahagia dan Kg. Selamat disegerakan, katanya, setakat ini, syor pelantikan masih dalam proses tindakan Jawatankuasa Tapisan Ketua Adat di peringkat daerah untuk dimuktamadkan sebelum syor pelantikan dikemukakan dan diproses di Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.
“Setelah proses oleh Jabatan Hal Ehwal anak Negeri selesai, ianya akan diangkat kepada Kementerian saya untuk pengeluaran surat lantikan,” katanya.
Mengenai pembaikan Dewan Seri Ontoros, Tenom, beliau memberitahu bahawa KKTP akan kemukakan permohonan peruntukan khas S27 ke Kementerian Kewangan Negeri Sabah untuk membiayai kerja-kerja menyelenggara dewan itu.
Berkenaan usaha mewujudkan lorong berbasikal khas di daerah Keningau, katanya, Majlis Daerah Keningau sedang dalam proses penyediaan Kajian Induk Landskap bagi keseluruhan daerah.
“Dalam kajian tersebut, antara cadangan adalah menyediakan lorong pejalan kaki dan basikal sekitar Bandar Keningau. Penyediaan kajian tersebut adalah di bawah biayaan Jabatan Landskap Negara dan dijangka akan siap dalam tahun ini.
“Pihak majlis akan mengemukakan cadangan laluan pejalan kaki dan basikal kepada Kerajaan setelah kajian tersebut siap dan diterima pakai.”
Tentang isu adanya keengganan pemaju menyerahkan kawasan awam kepada PBT sehingga menimbulkan masalah penyelenggaraan, Dr. Joachim berkata, tiada sebarang rekod di kawasan DUN Kukusan di mana pihak pemaju enggan menyerahkan kawasan awam kepada Majlis Perbandaran Tawau (MPT).
“Lazimnya, pemaju adalah diwajibkan untuk menyerahkan kawasan awam kepada PBT selaras dengan syarat kebenaran merancang yang dikeluarkan PBT.
“Sebelum penyerahan, pihak pemaju mempunyai tanggungan atau liabiliti ke atas infrastrukur yang dibangunkan selama setahun daripada tarikh sijil menduduki dikeluarkan.
“Selanjutnya, PBT bertanggungjawab untuk memastikan infrastruktur berada dalam keadaan baik sebelum ianya diterima daripada pemaju,” katanya.
Dr Joachim berkata, KKTP juga dalam proses mengemas kini Town and Country Planning Ordinance (CAP 141) dan Local Government Ordinance bagi memberi kuasa kepada PBT untuk mengambil alih pengurusan kawasan awam tersebut, termasuk kuasa untuk membuat pengambilan tanah (land acquisition).
Berkaitan dengan dengan projek Jeti Nelayan Pantai Manis, katanya, projek itu belum siap sepenuhnya dan belum sedia untuk diserahkan oleh Pejabat Daerah Papar sebagai pelaksana projek, kepada Majlis Daerah Papar.
“Jeti Nelayan Pantai Manis ini tidak dapat diserahkan kepada para nelayan disebabkan terdapat fasiliti yang belum tersedia, seperti stor penyimpanan barang nelayan. Apabila jeti ini siap sepenuhnya ia akan diserahkan kepada Majlis Daerah Papar, untuk kegunaan para nelayan,” jelasnya.
Berkenaan dengan jumlah perkampungan di DUN Sekong, beliau memaklumkan bahawa terdapat enam buah kampung di DUN Sekong yang telah digazet sebagai kampung berstatus anak negeri.
Kampung tersebut adalah Kg. Gas, Suan Lamba, Bonggaya Baru, Datuk Nahalan Lupak Meluas, Pulau Timbang dan Kg. Bambangan.
Mengenai projek pembinaan 100 buah rumah kediaman untuk mangsa kebakaran di Kampung Gas, beliau berkata, perkara ini sedang dalam proses perolehan tender di Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).
“Hal ini akan dibawa ke Mesyuarat Keputusan Lembaga Perolehan Persekutuan Sabah yang diselia oleh Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS),” katanya.
Berkenaan dengan isu kawasan lapang Sabindo, katanya, tanah yang dimaksudkan adalah merujuk kepada tanah milik Kerajaan Negeri dan bukannya bersatus tanah lapang.
“Tanah tersebut telah dipohon dan diluluskan kepada Majlis Perbandaran Tawau (nombor geran TL 107543975) bagi tujuan kegunaan komersil. Tanah tersebut tidak memerlukan penukaran zon guna tanah. Justeru, notis awam adalah tidak perlu dilaksanakan,” katanya.
Dr. Joachim turut menjawab isu berkenaan dua kawasan lapang di Taman Austral yang didakwa telah dizonkan semula kepada Low Density yang bercanggah dengan Pelan Tempatan Kota Kinabalu.
“Untuk Makluman, melalui Pelan Tempatan Kota Kinabalu tahun 2020, tapak ini telah dizonkan sebagai Residential Low Density. Ini telah diluluskan oleh Lembaga Pusat untuk memberi kebenaran kepada DBKK untuk penukaran zon selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 19 Disember 2012.
“Berkenaan dengan penggantian kawasan lapang tersebut, tidak timbul soal penggantian memandangkan kawasan lapang di Taman Austral telah memenuhi keperluan syarat 10% penyediaan kawasan lapang.
“Berhubung isu kaveat ke atas tanah-tanah tersebut, kedua-dua tanah tersebut pernah dikaveat oleh sebuah syarikat sebelum ini. Walau bagaimanapun, kaveat telah ditarik balik dan sekarang bebas daripada sebarang sekatan,” jelas beliau.
Berkenaan dengan penempatan setinggan di kawaan persisiran sungai dan Aerodrome, beliau memberitahu kawasan yang dimaksudkan adalah termasuk dalam kawasan “Aerodrome Reserve”.
“Pada masa ini kawasan tersebut terlibat dalam perancangan pembangunan yang diterajui oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN).
“Apabila kawasan tersebut dibangunkan kelak, pihak kerajaan sudah pasti akan mengambil kira sewajarnya perancangan penempatan para penduduk setinggan tersebut,” katanya.
Berkaitan dengan Kajian Semula Pelan Tempatan Sri Tanjung, katanya, ini dijalankan selama dua tahun yang mana bermula pada tahun 2022 dan akan siap pada September 2024.
Dalam pada itu, Dr. Joachim menjelaskan bahawa Jemaah Menteri Negeri Sabah telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Induk Menangani Ehwal Setinggan yang beliau sendiri pengerusikan.
“Strategi dan pelan tindakan telah dirangka dan diatur untuk menangani perihal setinggan di Sabah.
“Jawatankuasa Ehwal Setinggan telah menetapkkan sejumlah 285 koloni setinggan di Negeri Sabah sebagai ‘lock figure,” katanya.
Tambah beliau, satu gerak kerja perancangan dan pengurusan setinggan di negeri Sabah telah disediakan, di mana strategi tersebut merangkumi; Penggazetan kawasan setinggan yang sesuai sebagai perkampungan; Penempatan semula setinggan melalui tawaran lot-lot atau tapak-tapak atau unit rumah yang sesuai; Pembinaan rumah mampu milik dan rumah kos rendah secara in-situ; Land Swap untuk tanah hak milik yang terlibat dengan setinggan; dan Pengusiran di atas tanah hak milik persendirian adalah menjadi tanggungjawab pemilik tanah itu sendiri.
“Kesemua agensi yang berkaitan seperti Pejabat Daerah, PBT, Agensi Penguatkuasa dan beberapa agensi teknikal terlibat dalam gerak kerja pengurusan setinggan ini.
“Ini disebabkan fokus perancangan ini bukan setakat menyediakan tapak pemindahan. ia turut melibatkan perancangan penyediaan kemudahan awam dan infrastktur di kawasan yang terpilih bersesuaian,” katanya.
Berkenaan cadangan pewujudan pekan baru di Apas Balung, beliau berkata, pihak Kementerian mengambil perhatian di atas saranan tersebut.
“Pihak LPPB akan mengambil tindakan termasuk mengadakan lawatan tapak bagi mengenalpasti tapak cadangan pekan baharu berkenaan.
“Berkenaan pewujudan pekan baru di Pagalungan, Nabawan, KKTP melalui Pihak Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah telah menyediakan Pelan Cadangan Pekan Baharu Pegalungan berkeluasan 560 ekar.
“Ini menjadi panduan kepada Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk melaksanakan program pembangunan masing-masing di tapak yang telah diperuntukkan di dalam pelan cadangan tersebut,” katanya.
Dr. Joachim berkata, pembangunan pekan baharu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat tertakluk kepada kelulusan peruntukan di dalam Rancangan Lima Tahun Malaysia.
“Oleh itu, agak sukar untuk menetapkan tempoh pelaksanaan pembangunannya kerana setiap jabatan dan agensi kerajaan yang diperuntukan tapak perlu memohon peruntukan bagi pelaksanaan program masing-masing.
“Pihak LPPB telah melaksanakan beberapa kerja infrastruktur asas di pekan baharu ini pada tahun 2011, 2012 dan 2015. Kerja-kerja infrastruktur ini akan disambung semula pada tahun 2025 berdasarkan kepada kelulusan peruntukan di dalam Kajian Separuh Penggal RMK12.
“Pihak LPPB akan memohon semula peruntukan bagi meneruskan pelaksanaan projek ini di dalam RMK13 yang akan datang,” jelas beliau.


































