Mangsa simbahan air panas oleh seorang wanita dalam lif di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas semalam dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan menaiki ambulans.
BALIK PULAU : Wanita yang tular dalam satu rakaman video kerana menyimbah air panas ke arah seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) semalam kini direman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap wanita berusia 39 tahun itu dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Menurut Utusan Malaysia, pemangku Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintenden Jafri Md. Zain berkata, ketika ini, polis masih menyiasat punca sebenar mengapa suspek menyimbah air panas ke arah mangsa yang berusia 33 tahun itu.
“Belum dapat disahkan lagi sama ada suspek mempunyai masalah kesihatan mental mahupun sebaliknya. Siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Terdahulu, polis berjaya menahan wanita terbabit tidak jauh dari lokasi kejadian iaitu di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, malam tadi.
Ia susulan penularan satu rakaman video berdurasi 20 saat yang diambil daripada kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang wanita menyimbah sejenis cecair ke arah mangsa dalam sebuah lif di pangsapuri berkenaan sejak petang semalam.
Akibat perbuatan wanita tersebut, mangsa yang menghidap Sindrom Down terpaksa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
Ketika ini, mangsa dikatakan berada dalam keadaan stabil meskipun melecur pada bahagian belakang dan depan badan sebelah kanan akibat simbahan air panas itu yang pada mulanya disangka asid.


































