Masiung Banah
TONGOD: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor akan merasmikan upacara pecah tanah kilang klinker dan simen bersepadu terbesar di Sabah di Dataran Terbuka Pinangah, di sini, pada 27 April.
Pembinaan kilang dengan nilai pelaburan RM2 bilion itu melibatkan kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dengan syarikat tempatan Sri Alam Setia Sdn Bhd.
Pengerusi Borneo Cement Sabah Sdn Bhd, Datuk Masiung Banah berkata, ketibaan Ketua Menteri akan disambut sebagai wira dengan upacara tradisi suku kaum Sungai dan Murut.
Kilang itu katanya, muncul sebagai kilang kedua terbesar di negara ini selepas kilang ASN Cement Sdn Bhd di Gua Musang, Kelantan.
Sebaik sahaja melakukan upacara simbolek menanam pokok, Hajiji dijadualkan melancarkan sebuah buletin keluaran terbaharu Sabah “Citra Kalaga” yang akan diterbitkan setiap dua bulan.
Masiung berkata, Citra Kalaga akan tampil sebagai lidah rasmi kerajaan yang bakal memuatkan berita-berita tempatan dan nasional serta rencana terkini hasil tulisan dan susunan dua tokoh wartawan Sabah, Datuk Lichong Angkoi dan Yussof J. Imbang.
Sebelum upacara berlangsung, seawal 9 pagi orang ramai akan berpeluang menyaksikan persembahan hiburan artis-artis tempatan dan nasional termasuk kemunculan artis dangdut tanah air, Baby Shima yang popular dengan lagu ‘Sejenak Sendiri’.
Sementara barisan para artis tempatan yang akan membuat persembahan terdiri daripada Datuk Francis Landong, Villashah, Asmin Peyog, Apiang Sausun dan Metha Sapari.
Terdapat 14 jabatan dan swasta dijadualkan turut serta membuat mempamerkan selain terdapat program jualan Rahmah.
Jawatankuasa Pelaksana upacara itu menjangkakan lebih 3,500 orang ramai membanjiri Dataran Terbuka Penangah sempena upacara tersebut.


































