Lokman Jamaan (kanan) dalam Operasi Bersepadu Motosikal Hari Raya Aidilfitri di Meru Raya, Ipoh kelmarin.
IPOH: Kenderaan barangan dilarang menggunakan jalan raya selama empat hari mulai tengah malam tadi dan esok serta 13 dan 14 April depan sempena perayaan Aidilfitri.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Kanan Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, larangan mulai pukul 12.01 tengah malam itu merupakan usaha untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.
“Larangan yang berkuat kuasa dua hari sebelum dan selepas Aidilfitri itu bagi memastikan kelancaran kenderaan yang bergerak dengan banyak yang dijangka bertambah sehingga 2 juta kenderaan di atas jalan raya.
“Jadi, untuk melancarkan perjalanan kenderaan pergi dan balik serta memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya, perintah larangan itu dikuat kuasa kepada kenderaan barangan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Operasi Bersepadu Motosikal Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di Bandar Meru Raya di sini kelmarin.
Yang turut hadir, Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusof Abustan.
Menurut beliau, terdapat tiga kategori kenderaan yang terlibat dalam larangan pemanduan iaitu Kategori 1 larangan pergerakan sepanjang masa melibatkan kenderaan lori pengangkut kereta, lori balak, jentera berat beroda, lori pengangkut simen, besi keluli, batu, pasir, tanah, bahan binaan lain, amang, bijih timah, arang batu dan bahan galian lain.
Katanya, bagi Kategori 2 pula melibatkan larangan pergerakan bermula pukul 12 tengah malam hingga 8 pagi iaitu lori kontena yang mengangkut barangan selain dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri yang sama, lori mengangkut barangan elektronik, elektrik, bahan industri, lori tanpa muatan, lori mengangkut barangan pengeluaran hasil sawit dan getah dari ladang ke kawasan industri.
“Kategori 3 pula membabitkan larangan pergerakan pukul 6 petang hingga 6 pagi iaitu kren bergerak dan lori pembancuh simen dalam jarak 25 kilometer dari tapak pembinaan,” katanya.
























