WASHINGTON: Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) sedang menganalisis objek aneh seberat 0.9 kilogram yang jatuh menghempap bumbung rumah di Florida.
Menurut Utusan Malaysia, NASA berkata, pihaknya sedang menjalankan kajian segera selepas mengesyaki objek itu merupakan serpihan dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Alejandro Otero berkata, objek itu terhempas dan merosakkan bumbung rumahnya di Naples kira-kira pukul 2. 34 petang (waktu tempatan) pada 8 Mac lalu dan bunyi dentuman kuat itu sempat dirakam oleh kamera keselamatan miliknya.
Otero berkata, anaknya berada di rumah ketika kejadian, tetapi tidak cedera.
Komando Angkasa Amerika Syarikat (AS) merekodkan kemasukan semula serpihan dari ISS pada masa yang sama di atas Teluk Mexico dengan trajektori membawanya ke arah barat daya Florida.
Serpihan itu adalah palet kargo bateri yang sudah habis dan pada asalnya bertujuan untuk dikembalikan ke bumi secara terkawal.
Tetapi pelancaran kapal angkasa Soyuz yang gagal awal bulan lalu menyebabkan gangguan pada jadual ISS dan palet bateri itu sebaliknya kembali ke bumi dalam kemasukan semula yang tidak dijangka.
“Ia berbentuk silinder dan anda boleh tahu melalui bahagian atasnya yang ia bergerak ke arah ini melalui atmosfera,” kata Otero.
































