Joniston (enqm dari kanan), Hezron (lima dari kanan) dan lain-lain bergambar di puncak Timpak Nulu di Kiulu.
KIULU: Kampung Sungoi yang terletak di kawasan pedalaman di sini semakin menunjukkan perkembangan dalam pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) apabila penduduk kampung berganding bahu membangunkan produk pelancongan bagi menjana pendapatan serta mewujudkan peluang kepada masyarakat setempat.
Komuniti kampung telah menubuhkan Persatuan Eko-Pelancongan Kampung Sungoi yang diterajui oleh Hezron Jikin bagi mengetuai usaha mempromosikan tarikan semula jadi serta pengalaman pelancongan luar bandar di kawasan itu.
Antara tarikan utama yang dibangunkan ialah Timpak Nulu, sebuah lokasi tinjau dan perkhemahan yang terletak di puncak tertinggi kampung berkenaan, menawarkan pemandangan panorama bukit-bukau serta landskap hijau yang indah.
Hezron berkata, sejak dibuka tahun lalu, lokasi itu menerima kunjungan pelawat secara konsisten, khususnya dalam kalangan pelancong tempatan dan pencinta aktiviti luar.
Kemudahan di lokasi berkenaan termasuk platform tinjau, dewan terbuka, dapur, tandas serta bilik persalinan, selain lapan pondok yang dibina menerusi geran berjumlah RM150,000 daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Terletak kira-kira satu jam setengah perjalanan dari Kota Kinabalu, Timpak Nulu turut muncul sebagai destinasi percutian berasaskan alam semula jadi bagi pengunjung yang mencari keindahan pemandangan serta suasana desa.
“Walaupun kami berada jauh dari bandar, kami mahu memanfaatkan keindahan kampung untuk menarik lebih ramai pelancong sambil menjana pendapatan komuniti,” kata Hezron, sambil menambah antara tawaran lain termasuk aktiviti mendaki, makanan tempatan dan hidangan tradisional.
Kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai melawat tarikan ekopelancongan komuniti itu dan memuji inisiatif penduduk kampung membangunkan produk pelancongan.
“Usaha penduduk Kampung Sungoi ini amat membanggakan kerana komuniti sendiri mengambil peranan dalam membangunkan produk pelancongan berasaskan kekuatan serta persekitaran semula jadi kampung.
“Kita berharap inisiatif seperti ini dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak kampung di seluruh Sabah untuk meneroka pelancongan berasaskan komuniti sebagai cara mempelbagaikan sumber pendapatan, mewujudkan peluang ekonomi tambahan serta memperkukuh pembangunan luar bandar,” katanya.


























