PENAMPANG: Polis berjaya menumpaskan dua kegiatan pengedaran dadah menerusi dua serbuan berasingan di daerah ini pada Khamis, yang membawa kepada penahanan tiga lelaki serta rampasan pelbagai jenis dadah dan sitaan beberapa aset yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti pengedaran.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintenden Arisanti Aziz, berkata operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Penampang pada 9 Julai itu berjaya merampas keseluruhan 165.22 gram serbuk ekstasi dan 3.17 gram ketamin.
Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 2 petang di Beverly Hills, Jalan Bundusan, apabila seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun ditahan.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menemui dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 83.83 gram dan ketamin seberat 1.42 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan maklumat dan risikan yang diperoleh, polis menjalankan satu lagi operasi kira-kira jam 3.40 petang di sebuah kondominium di daerah Penampang.
“Dalam operasi kedua ini, dua lelaki tempatan berusia 22 tahun berjaya ditangkap dan polis turut merampas dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 81.39 gram serta ketamin seberat 1.75 gram,” katanya.
Arisanti berkata, selain rampasan dadah, polis turut menyita beberapa buah kenderaan dan telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah yang dijalankan suspek.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, atau penjara sehingga 30 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
“Pihak polis menasihatkan masyarakat supaya tidak terlibat dengan najis dadah dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau dadah,” katanya.
Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
































