Shahelmey bersama para jemputan lain dan penerima sumbangan.
PUTATAN: Para lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di kawasan Parlimen Putatan digesa meneruskan kecemerlangan yang dicapai di bangku sekolah serta membuat pilihan bijak dalam menentukan bidang pengajian dan kerjaya bagi memenuhi keperluan industri pada masa depan.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, cabaran untuk mengisi keperluan tenaga kerja dalam pelbagai sektor di Sabah dan negara perlu dijadikan pemangkin kepada golongan muda untuk terus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka.
Menurutnya, perkembangan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang kini mendapat permintaan tinggi dalam pelbagai industri wajar diterokai oleh para pelajar sebagai persediaan menghadapi perubahan landskap pekerjaan.
“Para lepasan STPM perlu bijak memilih subjek sekiranya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Begitu juga apabila menerima tawaran pekerjaan, pilihlah bidang dan kemahiran yang mempunyai permintaan dalam mana-mana industri.
“Ia penting dalam melahirkan lapisan masyarakat yang intelek di Putatan sekali gus menjadikan daerah ini lebih berdaya saing pada masa hadapan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pelajar Cemerlang STPM 2025 di Hotel Pan Borneo, di sini.
Seramai 44 lepasan STPM dari kawasan Parlimen Putatan menerima sumbangan penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan mereka dalam peperiksaan berkenaan.
Penerima terdiri daripada pelajar dari SMK Putatan, SMK Sanzac dan SMK La Salle.
Shahelmey turut berharap para pelajar akan terus berusaha mencapai kejayaan di peringkat pengajian tinggi serta memanfaatkan peluang yang ada untuk membina kerjaya yang mampu menyumbang kepada pembangunan Putatan dan Sabah.
































