Dua anggota JPJ memeriksa sebuah bas dalam operasi bas ekspres di Pulau Pinang.
GEORGE TOWN : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan saman terhadap 12 buah bas ekspres di sini kerana tidak mempunyai pemandu kedua dalam operasi bas ekspres yang dijalankan semalam.
Menurut Utusan Malaysia, jurucakap JPJ negeri berkata, operasi yang menyasarkan bas ekspres itu dijalankan selama enam jam bermula pukul 12 tengah malam tadi di dua lokasi berbeza iaitu Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sultan Abdul Halim Mua’zam Shah.
Katanya, operasi penguatkuasaan itu dijalankan bagi memastikan semua kenderaan perkhidmatan awam terutamanya bas ekspres mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
“Tindakan saman ini dibuat selepas pemeriksaan mendapati, bas-bas tersebut tidak mempunyai pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) atau perjalanan selama empat jam secara berterusan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, selain memastikan pemandu bas mematuhi peraturan jalan raya, operasi itu juga dijalankan bagi memastikan bas yang dipandu berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan, pemandu mempunyai lesen memandu serta lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV) yang sah.
“Pada masa yang sama, ia juga bertujuan memastikan pengusaha bas menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan bas jauh atau lama menerusi pemeriksaan buku log pemandu,” katanya.
Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pemandu dan pemilik yang tidak mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-kaedah di bawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

































