PETALING JAYA : Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan lima penjenayah yang disyaki aktif dalam kejadian samun bersenjata api di sekitar Lembah Klang ditembak mati malam tadi di Persiaran Harmoni, Putra Heights.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, kesemua yang maut terdiri suspek berusia antara 25 hingga 30 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, kesemua mereka dikesan menaiki sebuah kereta Perodua Axia dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di lokasi berkenaan.
Ketika diarahkan berhenti bagi tujuan pemeriksaan, suspek yang juga warga tempatan memecut kereta sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.
“Saya sahkan, satu sidang akhbar akan diadakan kira-kira pukul 2.30 petang ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.


































