KOTA KINABALU: Satu laporan polis telah dibuat terhadap pemegang akaun TikTok “Sabahbanah77” kerana menyebarkan maklumat palsu dan pembohongan di media sosial.
“Bukan sahaja nama baik Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor tercemar dengan dakwaan palsu itu tetapi juga Kontinjen Polis Negeri, Jabatan Pejabat Tanah dan pelabur tempatan tulen seperti kami,” kata ahli perniagaan tempatan T.O. Wong semasa membuat laporan polis itu.
Wong berkata dia menerima suatu video TikTok di WhatsApp-nya yang mendakwa permohonan tanahnya dan kumpulannya diluluskan dalam masa 15 hari “kerana hubungan rapatnya” dengan Ketua Menteri.
“Saya tidak kenal Ketua Menteri. Permohonan tanah mengambil masa lebih lama kerana melalui semakan dan prosedur yang betul,” katanya.
Wong berkata semua permohonan tanah perlu melalui beberapa jabatan seperti Pejabat Daerah, Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) dan agensi kerajaan lain.
Wong berkata, tanah itu dipohon pada 2022 untuk tujuan pelancongan dan Jabatan Pejabat Tanah hanya memberi kelulusan pada akhir tahun lalu.
“Ia dikeluarkan kepada syarikat kami di bawah terma ‘pajakan’ di mana kami perlu memenuhi syarat tertentu seperti membayar premium sewa kepada Kerajaan Negeri, antara lain,” katanya.
Wong berkata sebagai rakyat Sabah, adalah menjadi kewajipannya untuk membantu membangunkan Negeri ini, termasuk rancangan menarik lebih ramai pelancong dan pembangunan serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan kepada penduduk tempatan, selain menjana pendapatan kepada Kerajaan dalam bentuk kutipan cukai korporat dan perkhidmatan.
Beliau berkata adalah tidak wajar bagi pengguna Tiklok tersebut untuk mendakwa kelulusan permohonan tanah itu berkaitan dengan pembelian motosikal “superbike” oleh Kerajaan Negeri untuk Kontinjen Polis Negeri.
“Didakwa bahawa pembelian motosikal untuk polis adalah satu bentuk rasuah sebagai balasan untuk kelulusan permohonan tanah kami, yang tidak masuk akal,” kata Wong, yang syarikatnya juga terlibat dalam perniagaan motosikal.
Beliau berkata, dakwaan sedemikian juga secara tidak langsung memburukkan nama polis.

































