Hannah Yeoh
PETALING JAYA: Semua jurulatih di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) bakal menikmati kadar skim gaji baharu selepas tidak berlaku sebarang pergerakan gaji sejak ia diluluskan kabinet kira-kira sedekad yang lalu.
Ia selepas Mesyuarat Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh semalam meluluskan penyelarasan jumlah gaji dan imbuhan baharu untuk Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) berkuatkuasa daripada 1 Januari lalu.
Menurut Utusan Malaysia, MSN dalam satu kenyataan berkata, jurulatih sepenuh masa yang berkhidmat untuk Program Podium dan Pelapis Kebangsaan akan menikmati kenaikan berdasarkan kepada tahap kelayakan mengikut Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) dan tempoh pengalaman dalam bidang kejurulatihan.
Katanya, kenaikan itu menyaksikan jurulatih dengan Sijil SPKK Tahap 3 dengan kelayakan tertinggi yang diperakui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) bakal menikmati kenaikan gaji daripada RM4,500 sebulan kepada RM5,900 sebulan mengikut penyelarasan yang baru diluluskan ini.
“Untuk menggalakkan lebih ramai bekas atlet negara menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan, imbuhan gaji tambahan diberi berdasarkan tahap pencapaian terbaik ketika bergelar atlet.
“Sebagai contoh, bekas atlet yang menjadi jurulatih sepenuh masa dan memiliki pencapaian pingat di temasya Sukan Olimpik ataupun Sukan Paralimpik diberikan imbuhan gaji tambahan RM3,500 sebulan manakala pencapaian pingat di Kejohanan Dunia menerima imbuhan gaji tambahan sebanyak RM3,000.
“Elaun khas berjumlah RM600 juga diluluskan untuk semua jurulatih Program Podium dan Pelapis Kebangsaan (kecuali jurulatih pinjaman ataupun pelepasan oleh majikan) manakala elaun jurulatih separuh masa turut dinaikkan berdasarkan kepada kelayakan SPKK masing-masing,” kata MSN dalam kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, penyelarasan terhadap Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan ini diluluskan sebagai penambahbaikan kepada kadar sedia ada dalam skim yang kali terakhir disemak pada tahun 2014.
Dalam pada itu, Hannah ketika ditemui pemberita berkata, penyelarasan gaji itu wajar dilaksanakan kerana kali terakhir pindaan penetapan tangga gaji jurulatih-jurulatih dibuat pada 2014
Tegas Hannah, jika perkara tersebut tidak dilaksanakan, kemungkinan Malaysia bakal kehilangan jurulatih terbaik yang bakal ke luar negara selepas ini.
“Hari ini MSN telah meluluskan satu kertas untuk mengkaji semula gaji-gaji jurulatih di Malaysia dan kali terakhir kita membuat pindaan tangga gaji itu pada 2014.
“Oleh itu, kita lihat 10 tahun telah lepas dan kalau kita tak kaji semula kita akan kalah kepada negara-negara jiran kita dimana jurulatih kita, atlet kita akan meninggalkan kita pergi keluar negara.
“Tahun ini pembaharuan yang kita nak buat ialah mengenai ekosistem terutama untuk bantu atlet kita capai yang terbaik dan ini kita lihat antara sokongan yang dibuat ialah struktur mereka termasuk jurulatih,” kata Hannah.
































