Razarudin Husain
PETALING JAYA: Purata sebanyak lima kes bunuh direkodkan berlaku dalam seminggu bagi tempoh tiga tahun sejak 2021 sehingga tahun lalu.
Jenayah berkenaan berlaku secara rawak dengan kajian polis mendapati antara motif pembunuhan disebabkan pertengkaran atau selisih faham, cemburu, mabuk, balas dendam dan hutang.
Sepanjang tempoh sama, seramai 1,509 individu terdiri 1,332 lelaki dan 177 wanita ditahan kerana terlibat dalam kes bunuh.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak 741 kes bunuh direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh tiga tahun kajian itu.
Kata beliau, terdapat peningkatan kes yang mana sebanyak 239 kes bunuh berlaku pada 2021, diikuti 2022 (241 kes) dan 2023 (261 kes).
“Berdasarkan kes yang direkodkan, tiada jenayah kes bunuh secara bersiri dilaporkan, sebaliknya siasatan yang dijalankan mendapati kesemua kes ini berlaku adalah secara rawak.
“Dapatan siasatan mendapati antara motif kejadian tertinggi yang telah dikenal pasti dalam kes jenayah bunuh sepanjang tempoh sama adalah disebabkan pertengkaran atau selisih faham, cemburu,mabuk, balas dendam dan hutang,” katanya di sini, semalam.
M\Razarudin berkata, siasatan polis terhadap kes jenayah bunuh merangkumi motif kejadian kerana ia dapat membantu pihak berkuasa mengenal pasti suspek yang terlibat dan hala tuju siasatan yang lebih berfokus.
Kata beliau, pertengkaran dan perselisihan faham antara faktor tertinggi kes bunuh berlaku iaitu 302 kes dicatatkan dalam tempoh itu diikuti belum pasti punca (148 kes).
“Selain itu, cemburu menjadi faktor pembunuhan iaitu 56 kes diikuti mabuk (51 kes); balas dendam (43 kes); samun (39 kes) dan dera atau hutang (masing-masing 31 kes).
“Cuai sehingga berlakunya kejadian bunuh iaitu 14 kes, selain tidak siuman (13 kes); rogol (10 kes); pemerasan (tujuh kes); kongsi gelap (empat kes); culik (tiga kes) dan ragut (satu kes),” katanya.
Menurut beliau, kaum Melayu adalah mangsa kes bunuh tertinggi jika dibandingkan dengan kaum lain di apabila 172 individu maut dalam tempoh sama.
“Diikuti kaum Cina (141 mangsa); India (131 mangsa) Bumiputera Sabah dan Sarawak (62 mangsa); warga asing (202 mangsa) dan tidak pasti (45 mangsa),” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh sama juga, sebanyak 1,509 individu terdiri 1,332 lelaki dan 177 wanita telah ditahan kerana terlibat kes bunuh.
“Bagi 2021, sebanyak 558 tangkapan dilakukan diikuti 2022 (477 tangkapan) dan 2023 (474 tangkapan),” katanya.
Untuk rekod, antara kes pembunuhan kejam dilaporkan sepanjang Disember tahun lalu yang mencuri tumpuan ramai adalah kes pembunuhan kanak-kanak Zayn Rayyan Abdul Matiin, enam tahun, yang diculik sebelum mayatnya ditemui dibuang di dalam anak sungai berhampiran Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai, Selangor pada 6 Disember tahun lalu.
Selain, kes melibatkan ibu tunggal Sharmila Samsusah atau Bella yang maut dibunuh selepas hilang sejak 14 Disember lalu.
Dalam pada itu, kemarahan melampau secara tidak terkawal boleh mendorong individu hilang pertimbangan sehingga sanggup membunuh.
Penganalisis jenayah, Shahrul Hamid Abdul Rahim berkata, seseorang itu berkemungkinan boleh bertindak agresif sehingga melakukan pembunuhan kejam kerana terlalu marah atau hilang kewarasan atas faktor tertentu.
“Pembunuhan kejam yang berlaku seperti mayat dibakar, ditanam, disimen atau dibuang di kawasan tertentu berlaku disebabkan pelaku takut dan cuba menghapuskan bukti tanpa menyedari perbuatan itu sebenarnya boleh dibongkar melalui kecekapan anggota polis,” katanya.
































