PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa melakukan pemantauan terhadap pusat-pusat peranginan di negara ini sekiranya terpalit dengan sebarang aktiviti pelacuran.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya melalui Bahagian Siasatan Jenayah di setiap daerah sentiasa melakukan risikan dan pemantauan bagi mengesan aktiviti tidak bermoral di pusat-pusat peranginan.
“Selain itu, tindakan juga telah diambil ke atas individu yang dikesan terlibat. Pemantauan akan dipertingkatkan bagi mengekang aktiviti ini (pelacuran) berleluasa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohamad Farouk menggesa kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menyalurkan kepada pihak polis.
“Kita mohon mereka yang terkesan dengan aktiviti sedemikian untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis agar tindakan selanjutnya boleh diambil,” katanya.
Pada 7 Januari lalu, media melaporkan polis Terengganu menubuhkan pasukan khas bagi membendung aktiviti sindiket persundalan yang dikesan mula memasuki kawasan peranginan di negeri itu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan dilaporkan berkata, perkembangan itu diperoleh melalui risikan yang dijalankan pihak berkuasa di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan kegiatan itu.
“Kita dapat maklumat terdapat kegiatan persundalan yang berlaku di beberapa kawasan di pulau-pulau peranginan yang terdapat di Terengganu,” katanya.
Menurut Mazli, sebelum ini polis menumpaskan sindiket persundalan dengan menahan tujuh wanita warga asing terdiri daripada empat warganegara Thailand, Indonesia (2) dan Laos (1).
Katanya, kesemua mereka ditahan dalam operasi dijalankan di beberapa hotel bajet di sekitar daerah ini pada 28 Disember tahun lalu dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana menawarkan khidmat seks.
“Dengan terbongkarnya aktiviti persundalan ini menunjukkan Terengganu juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran atau tumpuan mereka-mereka yang terlibat dalam aktiviti sindiket persundalan lebih-lebih lagi negeri ini terkenal dalam sektor pelancongan.
“Hasil beberapa risikan mendapati berlaku kegiatan persundalan melibatkan sindiket tertentu yang bergiat aktif di Terengganu melibatkan daerah Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu,” ujarnya.


































