Virgil Van Dijk sendiri mengakui berasa sangsi hala tuju kelab selepas ketiadaan Jurgen Klopp.
LIVERPOOL: Pengendali Liverpool Jurgen Klopp meminta semua pihak bertenang susulan spekulasi beberapa pemain bintang mereka diramal ‘angkat kaki’ ekoran daripada pengumuman beliau untuk berundur dari Anfield akhir musim ini.
Menurut Utusan Malaysia, Virgil van Dijk, Mohamed Salah dan Trent Alexander-Arnold hanya memiliki baki kontrak selama 18 bulan bersama Reds dan kapten pasukan, Van Dijk sendiri mengakui dia berasa sangsi hala tuju kelab selepas ketiadaan Klopp nanti.
“Tiada apa yang berlaku. Minggu lalu tiada siapa mengetahui situasi saya. Mereka masih ada 18 bulan dan tiada siapa pun bertanya. Berilah kami ruang. Tidak seorang pun patut berasa bimbang.
“Anda boleh menulis apa sahaja. Kelab ini stabil. Semuanya akan menjadi baik dan saya 100 peratus jamin. Saya minta semua bertenang. Penyokong Reds sendiri tidak berfikiran seperti itu sebagaimana anda gambarkan. Anda memandang rendah cara tahap pemikiran penyokong kami,” kata Klopp
Klopp sebelum ini mendedahkan telah menyatakan hasrat berundur kepada kelab sejak dua bulan lalu, namun pengumuman itu dianggap tidak adil ketika usaha untuk melanjutkan kontrak pemain.
“Anda tidak boleh seperti itu. Masih ada banyak masa untuk melakukan banyak perkara. Pemain-pemain ini gembira berada di sini. Saya tahu mengenainya. Ia bukan mengenai mereka sudah melangkah untuk keluar dari Anfield. Mereka hanya mahu mengetahui perspektif selepas ini,” ujarnya.
Liverpool mungkin boleh mengabadikan kenangan yang mungkin tidak dapat Klopp lupakan untuk memburu gelaran Piala Liga, Piala FA dan Liga Europa.
Pada masa yang sama, Klopp turut memberitahu proses memulihkan kecederaan Mohamed Salah tidak dibuat terburu-buru kerana ia mengambil masa.


































