Dr. Maximus (tengah), Timbalan-timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (dua dari kanan), Datuk Jahid Jahim (kiri), Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai, Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki serta pemimpin lain dan perwakilan bersama melaungkan slogan ‘Bersatu’ pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ke-38 hari ini.
KOTA KINABALU: Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-38 hari ini memberikan mandat kepada Majlis Tertinggi parti untuk berbincang dan membuat keputusan terhadap cadangan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk kedua-dua parti bergabung.
Ini dimaklumkan oleh Pusat Media PBS yang menyatakan kesemua 710 ahli perwakilan yang hadir sebulat suara bersetuju untuk menyerahkan perkara tersebut kepada Majlis Tertinggi parti.
Menyentuh perkara ini semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS kali ke-38 di sini kelmarin, Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, parti memberikan ruang kepada perwakilan Pemuda dan Wanita untuk membahas apakah bentuk dan mekanisma gabungan atau kerjasama.
“Yang amat jelas adalah, kita dalam PBS akan memberi jaminan yang tidak berbelah-bahagi tentang kerjasama bersama parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mana PBS dan STAR adalah komponen yang penting.
“Saya menyarankan agar kita boleh bekerjasama dengan lebih erat dengan STAR sebab mereka ini adalah sebenarnya bermula daripada Parti Bersatu Sabah dan perjuangan mereka juga tidak jauh daripada perjuangan kita,” katanya.
Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan semasa Konvensyen Nasional dan Ulangtahun ke-7 STAR di sini 1 Julai lalu menyatakan kesediaan STAR untuk bergabung dengan PBS sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Dr. Jeffrey berkata, ia sebagai satu pendekatan untuk mengukuhkan kedua-dua parti pelbagai kaum berasaskan Kadazandusun dan Murut (KDM) itu sebelum PRN akan datang.
Katanya, beliau yakin cadangan menggabungkan kedua-dua parti itu boleh menjadi kenyataan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah agar lebih bersedia menghadapi pilihan raya dengan harapan untuk mencatat kemenangan besar.
“Memang hasrat kita sudah ada, lama sudah sejak PRN lalu lagi dan sudah ada perbincangan dibuat di antara pemimpin kedua-dua parti tetapi tidak dapat direalisasikan ketika itu.
“Bagaimanapun, sekarang idea itu datang lagi. Bagi saya ia adalah langkah yang terbaik untuk kedua-dua parti dan saya positif terhadapnya. Harapan saya ia akan menjadi kenyataan,” katanya.























