Bobbey Suan
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta membuat kajian terperinci untuk mempertimbangkan pemberian peluang kedua dan pelepasan secara automatik kepada individu dengan kes muflis kurang daripada RM100,000.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bobbey Suan berkata, ini penting untuk mengurangkan jumlah rakyat Malaysia yang muflis akibat tertekan dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia dan peningkatan kos sara hidup.
Beliau sangat menyambut baik usaha dan inisiatif kerajaan di atas penambahbaikan penting Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Pindaan 2023 di mana pelaksanaan mekanisme pelepasan individu daripada kebankrapan secara automatik dan dalam tempoh singkat serta had muflis RM50 ribu ketika ini dinaikkan kepada 100 ribu ringgit.
“Namun demikian, saya memohon supaya pihak kerajaan turut membuat kajian terperinci untuk mempertimbangkan pemberian peluang kedua dan pelepasan secara automatik juga bagi kes-kes yang nilainya kurang daripada 100 ribu ringgit,” katanya ketika membahas RUU Insolvensi Pindaan 2023 di Dewan Negara di sini kelmarin.
Bobbey berkata, menjadi muflis bukanlah satu perkara yang boleh dibanggakan lebih-lebih lagi kerana apabila muflis, seseorang individu itu tiada lagi kuasa terhadap kewangan sendiri, malahan aset milik mereka mungkin dilelong untuk melangsaikan hutang.
Menurutnya, mereka yang muflis akan berada di bawah pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi dan berdepan beberapa sekatan seperti akaun simpanan dan pelaburan dibekukan, tidak dibenarkan keluar negara dan tidak dibenarkan berbelanja lebih RM1,000 menggunakan kad kredit.
Malahan katanya, semua aset seperti rumah dan kereta besar kemungkinan akan disita dan dilelong untuk membayar balik hutang. Walaupun mereka yang muflis masih perlu bekerja dalam usaha untuk melangsaikan hutang berkenaan, gaji yang diterima sebahagian besar akan diperuntukkan untuk membayar hutang.
Beliau menarik perhatian, menurut statisik kes kebankrapan mengikut sebab kebankrapan dari tahun 2019 hingga bulan Mei 2023 yang diterbitkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, pinjaman peribadi menjadi punca utama muflis disebabkan ia mudah diperoleh tetapi mempunyai caj faedah yang agak tinggi.
“Oleh kerana ia mudah diperoleh, sebahagian besar pinjaman berkenaan diambil untuk membeli perkara tidak perlu atau di luar kemampuan. Antara punca utama seseorang itu bankrap ialah kegagalan mengurus dan mengambil hutang berdasarkan kemampuan semasa dan tidak melihatnya sebagai satu komitmen jangka panjang.
“Malahan ada yang mengambil pinjaman peribadi dan menggunakan kad kredit untuk tujuan bermewah-mewah semata-mata. Walaupun begitu, tidak dinafikan persekitaran semasa seperti pandemik COVID-19, kehilangan pekerjaan, sakit atau kenaikan harga barang juga boleh menyebabkan seseorang itu gagal melangsaikan pinjaman sedia ada kerana gaji yang diterima tidak lagi cukup untuk membiayai kehidupan,” tegasnya.
Bobbey berkata, dalam Tekad Kedua Belanjawan Madani 2023 iaitu reformasi institusi dan tatakelola baik bagi memulih keyakinan melalui Ikhtiar yang ke-5 iaitu pembaharuan sektor awam, di bawah Sub-Ikhtiar ke-4 iaitu menangani isu-isu rakyat, kerajaan telah mengumumkan rakyat yang diisytiharkan muflis berhak mempunyai peluang kedua.
“Kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat. Sementara menunggu pindaan, kes-kes kecil yang hutangnya kurang 50 ribu ringgit yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta bermula 1 Mac lepas,” tegasnya lagi.
Sementara itu, Bobbey turut mencadangkan kepada kerajaan agar mengambil tiga tindakan segera bagi menyelesaikan isu dan krisis bekalan tenaga yang serius di Sabah.
Cadangan pertama beliau ialah kelulusan daripada Kabinet Persekutuan untuk memohon dan mewartakan Artikel 95C Perlembagaan Persekutuan untuk menggantung Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 448), Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 (Akta 725) dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 (Akta 726) haruslah disegerakan pengaplikasiannya untuk menjayakan perkhidmatan pengurusan tenaga yang lebih cekap dan berkesan.
Katanya, tindakan segera kedua yang perlu diambil oleh kerajaan ialah Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah (2023-2027) bagi menyediakan penyelesaian segera kepada kekurangan kapasiti penjanaan kuasa yang kritikal semasa di Sabah.
“Saya menggesa Kerajaan Persekutuan memainkan peranan untuk memudahkan dan meneruskan proses bagi memastikan projek yang dirancang di bawah Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah siap tepat pada masanya.
“Terakhir, kita dimaklumkan bahawa beberapa peruntukan seperti geran berjumlah RM2.3 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi pelaksanaan projek pengukuhan sistem penghantaran dan pengagihan bekalan elektrik di Sabah yang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (Sabah Special Project Delivery Unit (SAPADU))dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Kerajaan Persekutuan mesti memastikan peruntukkan pembiayaan melalui geran ini berjalan lancar kerana ia merupakan projek kemudahan awam yang mesti disiapkan menjelang 2028 agar kuasa daripada dua stesen hidroelektrik baharu dapat disalurkan kepada pengguna melalui Grid Sabah.
“Bekalan tenaga elektrik yang stabil adalah hak asasi manusia pada ketika ini, bukan sahaja pengguna domestik, tetapi pengguna industri juga sangat memerlukan bagi memastikan produktiviti industri di Wilayah Sabah sentiasa terjaga dan berkualiti. Fokusnya, tiga indikator iaitu keterjaminan tenaga (energy security), mampu milik (affordability) dan kelestarian alam sekitar (environmental sustainability) haruslah menjadi asas bagi mencapai matlamat ini,” katanya ketika membahas Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023.
Bobbey berkata, isu bekalan tenaga elektrik di Sabah sudah mencapai tahap yang kritikal dan pada bulan Mei 2023 sahaja, semua bandar utama di Wilayah Sabah seperti Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Sandakan, Tawau, Tambunan, Kota Belud dan Lahad Datu telah mengalami gangguan elektrik yang sangat serius.
Katanya, ini disebabkan oleh bekalan elektrik yang tidak mencukupi disamping permintaan yang tinggi disebabkan oleh cuaca panas yang beterusan, sehingga pihak SESB terpaksa membuat kerja-kerja penyesuaian grid bagi memastikan kestabilan penyaluran tenaga untuk pengguna domestik dan industri.
Sebab itu katanya, kaedah “load-sheeding” (catuan bekalan) terpaksa digunakan hingga berlaku “blackout” (ketiadaan elektrik) hampir di seluruh Sabah.
“Margin rizab juga adalah rendah dan dengan permintaan yang tinggi, ia mencapai keadaan “deficit”. Standard antarabangsa untuk margin rizab yang sesuai untuk satu sistem bekalan elektrik yang stabil perlu berada pada tahap 20% hingga 30% kapasiti penjanaan”, tambahnya.
Bobbey menegaskan, walaupun Wilayah Sabah kini sedang mengalami krisis bekalan tenaga yang serius, namun Kerajaan Sabah sendiri tetap komited untuk memastikan hak asasi rakyat negeri Sabah bagi mendapatkan bekalan tenaga yang stabil terus terpelihara, disamping dokongan daripada Kerajaan Persekutuan bagi memudahkan urusan untuk Kerajaan Sabah menguruskan tenaga dengan lebih cekap dan mandiri.
“Dengan Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 ini, kuasa kawal selia elektrik di Sabah akan berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Sabah bermula awal Januari 2024. Untuk mencapai tarikh sasaran yang ditetapkan itu, penyelarasan dan kerjasama semua pihak adalah penting supaya semua isu, terutama proses perundangan dapat diselesaikan,” tegasnya.































