SELANGOR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali mengadakan tinjauan mengejut di sebuah premis yang tersenarai dalam Takwim Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) pada hari pertama Ramadan 1447H, bagi menilai pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Beliau berkata, tinjauan dilakukan sejurus selesai urusan pejabat sebagai sebahagian usaha memastikan program intervensi kerajaan itu dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut Armizan, sepanjang Ramadan berlaku perubahan terhadap corak perbelanjaan masyarakat khususnya umat Islam, sama ada membeli juadah berbuka di bazar atau menyediakan hidangan di kediaman masing-masing.
Katanya, selain juadah berbuka puasa, masyarakat turut membuat persiapan menyambut Syawal termasuk menyediakan pelbagai jenis biskut dan kuih tradisi yang secara tidak langsung meningkatkan perbelanjaan isi rumah.
“Program intervensi seperti PJRM amat penting sebagai pilihan mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan sebanyak 1,898 siri PJRM di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan.
Katanya, keseluruhan siri program itu turut menawarkan barangan basah dan kering yang menjadi keperluan untuk persiapan berbuka puasa termasuk bahan membuat kuih-muih.
Armizan mengakui pelaksanaan PJRM sahaja tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan peningkatan perbelanjaan rakyat sepanjang Ramadan, namun ia menjadi salah satu platform membantu meringankan kos sara hidup khususnya golongan memerlukan.
Beliau berkata, PJRM juga bukan satu-satunya penyelesaian kepada isu kos sara hidup, tetapi merupakan antara mekanisme intervensi kerajaan di bawah agenda Kerajaan Madani.
“Strategi dan pendekatan menangani isu kos sara hidup melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) melibatkan dua komponen penting iaitu menstabilkan pergerakan harga barang dan perkhidmatan serta meningkatkan pendapatan sara hidup rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri,Anwar Ibrahim dan Kementerian Kewangan atas kelulusan peruntukan khusus bagi menginstitusikan PJRM sebagai salah satu inisiatif menangani kos sara hidup.
Menurutnya, peruntukan tahunan itu membolehkan KPDN membuat perancangan dan penambahbaikan berterusan untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan berbanding program jualan barang murah secara adhoc sebelum ini.
Beliau berkata, antara penambahbaikan dilaksanakan ialah penganjuran PJRM di semua negeri setiap bulan dengan kekerapan tiga kali sebulan bagi setiap DUN di seluruh negara serta melibatkan 40 zon di Wilayah Persekutuan.
Selain itu, bermula tahun 2025, KPDN turut menyediakan Takwim PJRM yang boleh diakses melalui laman sesawang kementerian bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat tarikh dan lokasi program berhampiran mereka.
Terdahulu, ketika meninjau pelaksanaan PJRM di Pasar Raya Borong Matahari Cawangan Pandan Indah, Selangor, Armizan mendapati program berjalan lancar dengan penawaran diskaun meliputi 65 jenis barangan atau SKU.
Beliau turut menggunakan bantuan “SARA Untuk Semua RM100” yang dikreditkan kepada akaun golongan dewasa warganegara sejak 9 Februari lalu bagi membantu membayar sebahagian pembelian barangan milik pasangan suami isteri yang berniaga kecil menjual nasi lemak.
Katanya, pasar raya berkenaan menjadi lokasi pasangan itu mendapatkan bahan mentah untuk jualan dan premis tersebut menyediakan lima terminal SARA bagi memudahkan transaksi.
Dalam tinjauan sama, Armizan turut mendapatkan maklumat mengenai bekalan minyak masak paket dan dimaklumkan bekalan meningkat sejak pelaksanaan aplikasi mudah alih e-COSS.
Menurut pengurusan pasar raya, bagi Januari 2026, sebanyak 20,400 paket minyak masak diterima untuk jualan kepada pengguna dengan had maksimum tiga paket bagi setiap transaksi.
































