KOTA KINABALU: Jentera PDM dan penyokong STAR Bingkor menyatakan sokongan penuh tanpa syarat kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi N.40 Bingkor, Rafie Robert.
Sokongan itu dibuat sebulat suara sebagai tanda keyakinan terhadap aspirasi serta kemampuan calon muda GRS tersebut untuk meneruskan agenda pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan Bingkor.
GRS Bingkor dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada STAR Bingkor atas komitmen dan sokongan padu itu, yang disifatkan sebagai suntikan semangat dan momentum tambahan untuk memastikan kemenangan calon GRS di DUN N.40.

Dalam perkembangan berkaitan, Calon Bebas bagi PRU DUN Sabah N.40 Bingkor, Harry Otogil turut mengumumkan penarikan dirinya daripada bertanding pada pilihan raya kali ini.
Harry berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai kepimpinan, komitmen dan semangat Rafie dalam memperjuangkan pembangunan Bingkor.
Menurutnya, anak muda merupakan tenaga baharu yang diperlukan untuk membawa perubahan, dan beliau yakin calon GRS itu mampu meneruskan agenda pembangunan “Bingkor Membangun Bersama Rakyat.”
Beliau turut menyatakan sokongan penuh kepada Rafie dan menyeru semua pengundi Bingkor untuk bersatu mengukuhkan sokongan demi memastikan masa depan kawasan itu terus maju, terurus dan menikmati pembangunan yang mampan.

































