Hajiji bersama jemputan lain bergambar bersama kakitangan UPPM dan orang ramai yang menghadiri Majlis Penutupan Hari Sukan dan Hari Keluarga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) P170 Tuaran di Dewan Seri Sulaman, Tuaran, hari ini.
TUARAN: Program pembangunan dan pembaharuan yang dirancang oleh Kerajaan berisiko musnah sekiranya pembangkang diberikan mandat selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 (PRU Sabah) pada 29 November ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyuarakan kebimbangan itu berdasarkan pengalaman apabila Parti Warisan mengambil alih kerajaan pada 2018.
Beliau berkata, ketika itu Warisan lebih banyak bertindak atas dasar dendam, termasuk menamatkan konsesi air yang menyebabkan kerugian lebih RM315 juta kepada Kerajaan serta menjejaskan kestabilan bekalan air.
“Mereka potong konsesi air hingga Kerajaan rugi RM315 juta. Mereka tidak fikir soal kesan, hanya mahu membalas dendam, menipu dan memfitnah. Pemimpin seperti ini dan parti yang mereka pimpin tidak boleh diberikan kepercayaan untuk memimpin, nanti hancur kita. Rakyat perlu tahu ini.
“Berpuluh tahun menjadi wakil rakyat, Shafie kata dia paling lama, tapi mungkin dia lupa. Saya tidak pernah bangga diri, tapi jika dibandingkan, saya lebih lama menjadi wakil rakyat daripada Shafie,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Penutupan Hari Sukan dan Keluarga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Parlimen Tuaran di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.

Hajiji bersama jemputan lain memotong kek sambutan pada Majlis Penutupan Hari Sukan dan Hari Keluarga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) P170 Tuaran di Dewan Seri Sulaman, Tuaran, hari ini.
Hajiji turut menegaskan bahawa seorang lagi pemimpin yang pernah berada dalam Kabinetnya pernah cuba merebut kuasa melalui ‘Langkah Kinabalu’, namun prestasinya dalam Kerajaan tidak memberangsangkan.
“Selama di Kabinet, tidak tahu berapa kali saja datang mesyuarat, tidak buat kerja, banyak jalan berlubang. Sekarang lebih tiga tahun jadi menteri, cakap Kerajaan gagal, tetapi sebenarnya yang gagal ialah mereka sendiri, bukan Kerajaan yang saya pimpin,” katanya.
Menurut Hajiji, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mencatat pelbagai kejayaan dalam bidang ekonomi, pelaburan, pendidikan dan kebajikan rakyat, termasuk melaksanakan banyak inisiatif baharu yang tidak pernah dilakukan kerajaan sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa rakyat perlu memberi mandat kepada GRS bagi memastikan kesinambungan pencapaian dan usaha kerajaan diteruskan demi manfaat rakyat.
Hajiji turut membayangkan akan menghabiskan tempoh perkhidmatannya sehingga akhir penggal Dewan Undangan Negeri Ke-17 sekiranya GRS mengekalkan kemenangan dalam PRU Sabah.
Calon GRS bagi kerusi DUN Sulaman itu berkata, beliau mahu memastikan kemenangan berpihak kepada GRS agar agenda pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) diteruskan selama lima tahun lagi sebelum menyerahkan tanggungjawab kepada penggantinya.
Sebagai Ketua Menteri, beliau berkata, beliau berusaha sedaya upaya untuk kesejahteraan Sabah dan rakyatnya tanpa mengabaikan penyokongnya di Sulaman, walaupun terikat dengan komitmen tugas negeri yang besar.
“InsyaAllah, apa sahaja yang kita lakukan dengan baik, Tuhan akan membalas. Jangan aniaya atau tekan orang. Saya tidak pernah aniaya atau tekan sesiapa walaupun mereka jelas di pihak pembangkang.
“Ada pegawai yang dilantik sebelum ini, asalkan kerja mereka bagus, mereka masih meneruskan tugas. Itulah prinsip saya. Jadi walaupun saya Ketua Menteri lama, saya tidak pandai menyingkirkan orang. Jika terlalu ‘tegas’, orang anggap kita lemah atau sentimentallah,” katanya.
Beliau juga mengingatkan semua pihak, termasuk pemimpin parti komponen GRS dan akar umbi di Tuaran, supaya memastikan sokongan kuat rakyat kepada GRS untuk mengekalkan Kerajaan.
“Kita mesti ada semangat yang baik untuk memastikan kemenangan Kerajaan kita. Daripada memilih orang lain, lebih baik rakyat memilih parti kita, GRS,” tegasnya.


































