Antara aksi yang berjaya dirakamkan oleh lensa jurufoto Jabatan Penerangan Sabah pada aksi peringkat kumpulan A SAGA XI antara Tongod menentang Tenom di Padang SMK Pasir Putih pada pagi Ahad.
TAWAU : Pasukan Tenom melangkah bergaya dalam saingan Kumpulan A acara bola sepak lelaki Sukan Sabah (SAGA) XI 2025, selepas menewaskan Tongod 4-2 di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih, pada Ahad.
Pertemuan penuh dramatik itu menyaksikan Tenom bangkit selepas ketinggalan pada awal babak pertama hasil jaringan pemain Tongod, Kissyouthien Lugasa pada minit ke-33.
Namun, hanya seminit kemudian, Tenom menyamakan kedudukan melalui jaringan sendiri pemain Tongod, Meshach Milbert, sebelum Healvester Kulisi menambah gol kedua pada minit ke-38.
Momentum Tenom terus meningkat apabila Fabio Aldevecstor Atang menambah jaringan ketiga pada masa tambahan minit ke-45+2, menjadikan kedudukan 3-1 memihak kepada Tenom menjelang separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Tongod kembali memberi tekanan dan berjaya merapatkan jurang melalui sepakan penalti Meshach Milbert pada minit ke-72. Namun, impian untuk menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila Mohf Zelzer Sofham meledak gol keempat Tenom pada minit ke-88, mengesahkan kemenangan 4-2 untuk pasukannya.
Dalam aksi penuh emosi itu, dua pemain Kapten pasukan Tenom – Chikonelson Kulisi (minit ke-21) dan pemain pertahanan, Sezelder Preh (minit ke-48) – serta pemain Tongod Mohamad Ashraf (minit ke-48) masing-masing menerima kad kuning daripada pengadil.
Kemenangan itu memberikan suntikan semangat buat skuad Tenom untuk mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan A menjelang perlawanan seterusnya.


































