Aksi semasa pertandingan ragbi berlangsung. Featured pic
TAWAU : Sukan Sabah (SAGA) XI terus menjadi platform melahirkan bakat baharu dalam sukan ragbi.
Ketua Delegat Teknikal Ragbi, Terence Baduk berkata kejohanan tersebut bukan sekadar pertandingan tetapi medan untuk mengesan dan mencungkil bakat baharu dari seluruh daerah di Sabah.
“SAGA sebenarnya banyak menghasilkan pemain berkualiti dan ada yang sudah sampai ke tahap pasukan kebangsaan.
“Daripada edisi 2023, ada dua pemain hasil SAGA kini menyertai skuad senior Malaysia dan mewakili negara dalam Asia Rugby 7s Championship.
“Antara pemain yang berjaya termasuk seorang atlet wanita dari Keningau dan seorang atlet lelaki dari Nabawan yang kini berada dalam radar persediaan ke Sukan SEA,” ujarnya ketika ditemui media di Padang Ragbi Kompleks Sukan Tawau di sini, pada Ahad.
Tambahnya, pencapaian tersebut membuktikan bahawa SAGA mampu membuka laluan kepada pemain berbakat untuk ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Terence ketika ditemui media.
Beliau turut berharap agar kejohanan kali ini dapat menemukan lebih ramai bakat baharu yang boleh digilap ke tahap lebih tinggi.
“Selain bakat, kami mahu pemain menunjukkan disiplin dan sikap positif kerana itu yang membentuk atlet kebangsaan,” ujarnya.
Dengan penyertaan 27 pasukan lelaki dan wanita dari seluruh negeri, pertandingan ragbi kali ini berlangsung selama tiga hari bermula Ahad mengikut format Olimpik, iaitu tujuh sebelah (seven aside), melibatkan 13 pemain dan tiga pegawai pengurusan bagi setiap pasukan.
Bagi kategori lelaki, sebanyak 15 pasukan bertanding manakala kategori wanita disertai 12 pasukan dengan dua pingat emas menjadi rebutan.
Selain kategori berpasukan, turut disediakan anugerah pemain terbaik lelaki dan wanita sebagai pengiktirafan terhadap prestasi individu.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk menyaksikan sendiri aksi ragbi berkualiti daripada pasukan-pasukan terbaik seluruh Sabah.


































