Hajiji (lima dari kanan) menerima borang permohonan untuk UPKO menyertai GRS daripada Ewon (empat dari kanan).
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini mengemukakan permohonan menjadi parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick mengetuai delegasi parti tersebut mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang juga merupakan Pengerusi GRS dan seterusnya menyampaikan permohonan tersebut.
Ewon menyatakan, UPKO mahu menyumbang kepada penyatuan dan kerjasama parti-parti tempatan Sabah bagi memperkukuh usaha membangunkan masa depan Sabah serta memperjuangkan hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Wawasan Sabah First yang diperjuangkan oleh UPKO adalah bersesuaian dengan perjuangan GRS melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang mesti diperkukuh melalui kerjasama lebih erat dan penyatuan parti-parti tempatan Sabah,” katanya.
Ewon menyatakan mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO pada 25 Mei yang lepas sebulat suara bersetuju memohon menjadi parti komponen GRS.
































