Dr. Joachim (kiri) bersama Dr. Jeffrey (tengah) sedang mengambil makanan tradisi yang dihidangkan.
PENAMPANG: Program Jungle Food Labs (JFL) 2026 yang dianjurkan sempena Kaamatan International Week mempunyai potensi nilai komersial dan nutrisi kesihatan yang baik.
Timbalan Presiden Kadazandusun Cultural Association (KDCA), Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata, makanan tradisi yang diperoleh daripada hutan bukan sahaja sedap, malah mempunyai nilai komersial dan nutrisi yang baik untuk kesihatan.
“Sebagai contoh, tuhau (wild ginger) boleh dipelbagaikan penggunaannya dalam makanan seperti sambal dan produk berasaskan herba yang mempunyai nilai komersial serta memberi manfaat kesihatan kepada pengguna.
“Program yang diperkenalkan beberapa tahun lalu ini pernah dihoskan oleh daerah Tambunan dan berjalan dengan lancar sebelum diketengahkan di peringkat negeri.
“Semua makanan ini selamat dimakan. Makanan hutan bukan sahaja untuk kelangsungan hidup, malah mempunyai nutrisi yang baik untuk kesihatan di samping berpotensi untuk dikomersialkan pada peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada program tersebut di Lamin Tambunan, Koisaan Cultural Village KDCA, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi MICC berkata Kaamatan International Week mempunyai kaitan dengan dua acara antarabangsa yang sedang berlangsung iaitu World Biodiversity Day dan International Dialogue for Social Development, sekali gus menjadikan penganjurannya bertepatan dengan sambutan minggu antarabangsa.
“Antara program Kaamatan yang berkait dengan isu global ialah Seed Spirit Revival (SSR), iaitu usaha memastikan tanaman, buah-buahan, padi dan herba yang hampir pupus terus dipelihara menerusi program rehabilitasi.
“Kita menanam semula benih-benih padi, herba dan buah-buahan yang berkemungkinan semakin tidak dikenali oleh generasi hari ini,” katanya.
Pada program tersebut, sebanyak lapan hidangan utama dihidangkan kepada para hadirin antaranya bubur daging salai rusa, sup ikan kelah, hinopot wagas campuran, sup ayam kampung, ikan pinasakan, kerabu pakis, pinagod dan kopi beras.
Selain itu, lapan hidangan sampingan turut disajikan termasuk nonsom bambangan, nonsom tuhau, tonsi bosing, nansakan tomuning, kinoring bonong, bosou sayur, linaagang dan pucuk uvui, selain minuman tradisi seperti linutau dan rinosnot.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Pengerusi Kaamatan International Week dan JFL 2026, Datuk Patinggi Andrew Ambrose.
































