Anwar Ibrahim mendapatkan perkembangan terkini berhubung misi Global Sumud Flotilla (GSF).
PETALING JAYA: Kerajaan sedang giat berhubung dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk melalui saluran diplomatik bagi memastikan sukarelawan dan aktivis Malaysia, ASEAN serta antarabangsa yang ditahan dibebaskan segera.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap perkembangan berkaitan proses pembebasan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa bagi memastikan keluarga tahanan mendapat maklumat terkini.
“Kepada ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan, semoga terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ini. Perkembangan setiap proses menuju pembebasan akan dimaklumkan dari masa ke masa,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Anwar mendapatkan perkembangan lanjut berhubung misi itu daripada Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby menerusi panggilan telefon.
Anwar turut mengajak rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan keselamatan semua tahanan, khususnya warga Malaysia agar mereka berada dalam keadaan selamat dan terpelihara sepanjang tempoh penahanan.
“Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan terpelihara,” katanya.
Setakat 7.50 pagi waktu Malaysia, seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas.
Mereka termasuk penyanyi Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius.
































