Zara Qairina Mahathir
KOTA KINABALU: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, 45, melalui peguam keluarganya, mendapat kebenaran Mahkamah Koroner untuk menjadi pihak berkepentingan sepanjang prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu bermula 3 September ini.
Menurut Utusan Malaysia, keputusan itu dibuat Koroner yang juga Pengarah Mahkamah Negeri, Azreena Aziz selepas prosiding pendengaran permohonan pasukan peguam mewakilnya di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina memohon Noraidah yang juga anak guam mereka, dideklarasikan sebagai orang yang berkepentingan dalam prosiding inkues kematian pelajar terbabit
Dengan keputusan itu, peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina dibenar mendapatkan akses kepada semua dokumen berkaitan. Mereka juga dibenarkan terbabit dalam prosiding inkues untuk memeriksa dan menyoal bas saksi, mencadangkan dan membawa saksi serta dokumen tambahan untuk membantu coroner.
Mahkamah turut membenarkan peguam mewakili lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-kanak sebelum ini atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina sebagai pihak berkepentingan dalam inkues sama.
Allahyarham Zara Qairina dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama di Papar pada pukul 3 pagi, 16 Julai lalu. Mangsa dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama sekolah dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, disahkan meninggal dunia sehari kemudian.
Kematian Zara Qairina mendapat liputan meluas termasuk di media sosial selepas dikaitkan dengan perbuatan buli di sekolah berkenaan.
Mahkamah Koroner sebelum ini menetapkan tarikh prosiding inkues pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.


































