Wilfred Madius Tangau
TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, mencadangkan nama Majlis Penasihat Tenaga Atom ditukar kepada Majlis Penasihat Keselamatan dan Pengawalseliaan Nuklear.
Menurutnya, ia bagi memastikan majlis itu tidak hanya terbatas kepada penggunaan tenaga atom tetapi juga berperanan memberi nasihat termasuk dalam aspek keselamatan, pengawalan, dan pemantauan teknologi nuklear secara keseluruhan.
“Penggunaan nama “Majlis Penasihat Keselamatan dan Pengawalseliaan Nuklear” adalah lebih tepat berbanding nama yang dicadangkan iaitu “Majlis Penasihat Tenaga Atom kerana ia mencerminkan skop kawal selia yang lebih luas.
“Ia sekali gus dapat memastikan pembangunan dan pengawalan tenaga nuklear di Malaysia dijalankan dengan selamat, berkesan, dan mengikut piawaian yang ketat,” katanya.
Madius yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian dalam perbahasannya mengenai RUU itu di Dewan Rakyat, di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Malaysia, Chang Lih Kang mengambil maklum dan menyambut baik terhadap cadangan berkenaan.
Dalam sesi penggulungan, beliau menyatakan cadangan bekas Menteri MOSTI itu akan dipertimbangkan.
Untuk rekod, Majlis Penasihat Tenaga Atom yang ditubuhkan di bawah RUU Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 antara lain bertujuan untuk untuk menasihati Menteri mengenai perkara dasar dan strategik Akta.
Ia juga bagi memberi nasihat jika timbul keraguan sama ada suatu aktiviti yang akan dilesenkan adalah untuk maksud perubatan atau suatu maksud selain maksud perubatan di bawah Akta berkenaan.
Majlis itu juga bertujuan untuk menasihati Menteri mengenai perkara yang dirujuk oleh Menteri berhubungan dengan akta tersebut.


































